92.3 peratus nelayan daftar SIMP projek tambak laut
GEORGE TOWN – Lebih 92.3 peratus nelayan yang layak telah mendaftar Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) susulan pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR).
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Farizan Darus berkata, jumlah itu meliputi 100 peratus pendaftaran dari unit Permatang Tepi Laut dan Gertak Sanggul serta 92.3 peratus dari unit Teluk Tempoyak.
Katanya, Jabatan Perikanan Pulau Pinang turut mengesahkan sebanyak 80 peratus iaitu 215 daripada 272 nelayan yang masih belum mendaftar didapati tidak aktif atau tidak lagi layak.
“Sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak tetapi masih belum mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran SIMP pada 31 Mac ini.
“Kadar pendaftaran yang tinggi ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan komuniti nelayan terhadap komitmen Kerajaan Negeri dalam menepati manfaat yang dijanjikan seperti pembayaran ex-gratia penyediaan bot dan enjin baharu termasuklah bantuan pendidikan, bangsal baharu, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pemaju projek komited untuk menyediakan saluran navigasi selebar 250 meter bagi membolehkan nelayan pergi ke laut tanpa mengira air pasang surut.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan, pemantauan kualiti air juga termasuk pemantauan masa nyata 24 jam bagi jumlah pepejal terampai (TSS) dan pemasangan tirai kelodak untuk menghalang penyebaran sedimen.
“Pemaju projek juga menghantar laporan kualiti air kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) setiap bulan sejak Oktober 2023 dan sehingga kini, pihak kami tidak menerima sebarang pertanyaan daripada JAS mengenai laporan kualiti air yang dikemukakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 92.3 peratus nelayan daftar SIMP projek tambak laut appeared first on Kosmo Digital.