Banjir di Nigeria ragut nyawa 170 orang
ABUJA – Sekurang-kurangnya 170 orang maut dan lebih 200,000 lagi kehilangan tempat tinggal berikutan banjir selama berminggu-minggu di Nigeria, lapor saluran televisyen CNN semalam.
Menurut jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NEMA), Manzo Ezekiel, wilayah Nigeria Utara paling teruk dilanda bencana itu.
Bagaimanapun, katanya, bahagian lain di negara tersebut kekal berisiko dilanda banjir.
“Pada kebiasaannya, corak banjir di Nigeria berlaku di sebelah utara sebelum bergerak ke bahagian tengah dan selatan. Ini kerana air mengalir menuruni kawasan landai.
“Dalam tempoh beberapa hari akan datang, bahagian tengah akan mengalami banjir yang sama, sebelum ia bergerak ke bahagian selatan,” katanya.
Negara paling ramai penduduk di Afrika itu dilanda banjir selepas hujan lebat yang mengakibatkan peningkatan paras air di dua sungai terbesarnya, Niger dan Benue.
Walaupun sebahagian Nigeria terdedah kepada banjir semasa musim hujan, Ezekiel berkata, pada tahun ini banjir melanda kawasan yang jarang berlaku bah.
“Keadaan ini menyebabkan beberapa tempat yang sebelum ini tidak terdedah dengan banjir dilanda bah kerana perubahan iklim,” katanya kepada CNN.
Pencinta alam sekitar sebahagiannya menyalahkan infranstruktur saliran di negara itu yang lemah sebagai punca berlakunya banjir pada setiap tahun.- AGENSI
The post Banjir di Nigeria ragut nyawa 170 orang appeared first on Kosmo Digital.