Dewan Rakyat: Permintaan air di Kelantan melebihi pengeluaran
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan masalah utama isu bekalan air bersih di Kelantan adalah kerana permintaan terhadap air bersih di negeri itu melebihi pengeluaran air bersih di negeri tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara purata, pengeluaran air bersih di Kelantan hanya pada tahap 514.7 juta liter sehari berbanding permintaan sebanyak 584.4 juta liter sehari.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan rizab margin di Kelantan amat kurang disamping kadar Air Tidak Terhasil (NRW) iaitu kehilangan air di Kelantan adalah besar iaitu 54.5 peratus.
“Sebab itu kalau kita lihat dalam konteks Kerajaan Persekutuan adalah membantu menyiapkan Loji Rawatan Air (LRA). Projek-projek yang akan dilaksanakan satu di Chicha 2, Kubang Kerian; Bukit Chupak, Gua Musang; Tanjong Mas, Kota Bharu dan Tok Bali, Bachok.
“Ada dalam pembinaan dan ada yang akan ditenderkan. Bagi Machang dijangka ditender tahun 2025 sebab masih diperincikan daripada segi reka bentuk dan sebagainya
“Syarikat air dan kerajaan negeri kena bekerjasama menyelesaikan masalah LRA. Masalah di Kelantan kurangnya LRA. Peringkat Persekutuan bantu daripada segi sumber air. Loji kena disediakan oleh kerajaan Kelantan melalui syarikat mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) apakah langkah kerajaan untuk membina empangan di seluruh Kelantan.
Menjawab soalan asal Siti Zailah, Fadillah berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bekerjasama dengan agensi di peringkat persekutuan dan negeri bagi mencegah pencemaran sumber air semasa musim kemarau untuk menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah.
Kata beliau, PETRA turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi
Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri bagi operasi pembenihan awan bertujuan meningkatkan paras air di empangan dan pengairan pertanian.
Tambah beliau, kementerian itu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) juga sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) di 19
lembangan sungai.
“Program ini memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuk tindakan mitigasi dan persediaan awal oleh pelbagai agensi lain berkaitan.
“Pemakluman ramalan kemarau dua bulan lebih awal dan amaran kemarau 14 hari lebih awal. Sehingga kini, tujuh lembangan telah siap dan mula beroperasi manakala sembilan lembangan lain dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2027.
“Pemakluman aras dan storan empangan bagi pemantauan kemarau. JPS turut memantau 25 empangan lain bagi memastikan storan adalah pada tahap siap siaga sebagai sumber air domestik dan pertanian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: Permintaan air di Kelantan melebihi pengeluaran appeared first on Kosmo Digital.