Dua minggu kosongkan ladang, jual semua babi
KUALA LANGAT- Sebuah ladang ternakan babi di Teluk Bunut di sini yang menyebabkan cemar bau diberikan tempoh dua minggu bagi mengosongkan termasuk menjual semua haiwan ternakannya itu.
Pengarah Pegawai Veterinar Selangor, Dr. Hassuzana Khalil berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 27 Oktober lalu dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar diberikan kuasa bagi tindakan penguatkuasaan.
Katanya, dua kompaun telah dikeluarkan ke atas ladang berkenaan sebelum ini kerana melakukan pencemaran bau dan tidak mempunyai lesen pengoperasian ternakan.
“Sebelum ini, aduan bau busuk telah diterima dengan bacaan Keperluan Oksigen Kimia Hayat (BOD) air dalam kolam air ladang itu melebihi kadar yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Jadi, pemilik ladang tersebut perlu akur dengan arahan kami. Sekiranya gagal berbuat demikian, anggota DVS akan datang semula ke ladang untuk menyita ladang serta merampas babi yang masih ada selaras dengan Seksyen 8, Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Negeri Selangor 1991.
“Pada hari ini, kita menyerahkan Notis Memberhentikan Operasi kepada pemilik ladang itu bagi menghentikan operasinya dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya selepas menyertai operasi penguatkuasaan babi di sini, hari ini.
Dalam operasi bermula kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku sedikit ketegangan apabila pemilik ladang berkenaan tidak membenarkan anggota DVS untuk membuat pemeriksaan ke atas ladangnya.
Namun selepas perbincangan selama kira-kira 30 minit, akhirnya pemilik itu membenarkan anggota DVS untuk masuk ke ladangnya bagi pemeriksaan jumlah babi.
Menurut Hassuzana, ladang yang berkeluasan satu hektar berkenaan dipercayai telah beroperasi lebih 10 tahun dengan terdapat lebih 1,000 ekor babi pelbagai saiz dan umur diternak ketika ini. -KOSMO! ONLINE
The post Dua minggu kosongkan ladang, jual semua babi appeared first on Kosmo Digital.