
Bazar Ramadan di Kuala Selangor kena kompaun, peniaga kuku panjang
KLANG – Berkuku panjang dan tidak mendapatkan suntikan anti tifoid yang diwajibkan pihak berkuasa merupakan antara 41 kompaun kesalahan dikeluarkan ke atas peniaga bazar Ramadan di sekitar Kuala Selangor setakat kelmarin.
Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, pihaknya dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) menjalankan operasi pemeriksaan ke atas lapan bazar sejak 2 Mac lalu.
Jelas beliau, pelaksanaan operasi melibatkan 965 pengendali makanan dan 693 petak niaga itu memfokuskan pematuhan peraturan kebersihan dan kesihatan makanan.
“Sepanjang tempoh 11 hari Ramadan, pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan peniaga seperti berkuku panjang dan tiada suntikan anti tifoid selain tidak memakai apron, topi serta kasut.

“Selain itu, Jabatan Penguatkuasaan MPKS mengeluarkan 33 kompaun kepada peniaga yang tiada memiliki lesen perniagaan,” katanya pada program Nur Ramadan: Menyantuni Media dan Pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini, malam tadi.
Tambah beliau, pensampelan makanan di bazar turut diambil bagi analisis mikrobiologil bagi memastikan ia selamat dimakan dan tidak mengandungi pencemaran berbahaya. – KOSMO! ONLINE
The post Bazar Ramadan di Kuala Selangor kena kompaun, peniaga kuku panjang appeared first on Kosmo Digital.