Klinik Desa Bakar Batu ‘berhantu’ akan dinaik taraf
JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menaik taraf dan memperbaiki bangunan bersebelahan Klinik Desa Bakar Batu, di sini yang dikatakan sebagai bangunan berhantu oleh penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, bangunan itu akan digunakan sebagai bangunan tambahan kepada klinik desa berkenaan.
Katanya, langkah itu sebagai salah satu usaha JKNJ meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan buat penduduk negeri berkenaan dengan meluaskan klinik sedia ada.
“Baru-baru ini tular sebuah video dengan rakaman bangunan terbiar di sebelah Klinik Desa Bakar Batu, Johor Bahru yang dikatakan sebagai ‘rumah hantu’.
“Bagaimanapun, pihak yang membuat hantaran tersebut mungkin salah faham bahawa bangunan terbiar itu pada asalnya digunakan sebagai kuarters dan telah terbengkalai selama bertahun-tahun,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Klinik Desa berkenaan, di sini.
Beliau turut memberitahu bahawa Johor telah menerima pembiayaan berjumlah RM13 juta bagi menaik taraf 29 klinik sepanjang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Klinik Desa Bakar Batu ‘berhantu’ akan dinaik taraf appeared first on Kosmo Digital.