KPJBDOSH sumbang 50 kerusi roda kepada HSA
JOHOR BAHRU: Menyedari keperluan mendesak terhadap penggunaan kerusi roda di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn (KPJBDOSH) terpanggil menghulurkan bantuan dengan menyumbangkan sebanyak 50 kerusi roda kepada hospital awam itu.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu merupakan usaha yang diterjemah Tabung Kebajikan Konsultan KPJBDOSH bagi memudahkan urusan golongan memerlukan di hospital awam berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Wilayah Selatan, Mohd. Azhar Abdullah berkata, kira-kira RM15,000 dibelanjakan bagi memastikan usaha murni berkenaan dapat direalisasikan.
“Ekoran satu artikel mengenai keadaan kerusi roda di HSA yang tular dalam laman sosial baru-baru ini, kami terus membuat keputusan untuk membantu menerusi tabung bantuan daripada doktor-doktor pakar kami.
“Sebagai salah satu daripada institusi perubatan di Johor, kami sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan HSA, malah beberapa doktor pakar kami juga pernah berkhidmat di sini. Apa yang paling utama adalah kami dapat membantu, khususnya kepada para pesakit yang amat memerlukan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan kerusi roda di HSA, di sini hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pengarah HSA, Dr. Sal Atan dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPJBDOSH, Muhamad Amin Othman.
Sebelum ini, tular dalam media sosial bahawa pesakit di HSA kecewa terpaksa menggunakan kerusi roda yang uzur dan tidak sempurna ketika mendapatkan rawatan di hospital terbabit.
Sementara itu, Dr. Sal berkata, sumbangan itu amat bermakna bagi HSA setelah penggunaan kerusi roda oleh pesakit amat tinggi dan tidak mencukupi.
“Para pesakit yang berada di wad-wad di HSA bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak ke Jabatan Radiologi untuk membuat fisioterapi dan sebagainya, jika keadaan mendesak kita akan gunakan ‘stretcher’ katil untuk membawa pesakit.
“Kita ada terima sumbangan kerusi roda dari semasa ke semasa, tetapi disebabkan penggunaan yang tinggi, ia cepat rosak dan tak tahan lama. Justeru, kita alu-alukan sumbangan dalam apa bentuk sekali pun,” katanya sambil memaklumkan 20 kerusi roda itu akan ditempatkan di Wad Kecemasan dan selebihnya di wad-wad lain yang memerlukan.
Dalam pada itu, Muhamad Amin berkata, usaha itu juga adalah salah satu daripada agenda kesinambungan dan lestari yang ingin diperkasakan rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad pada tahun ini.
“KPJBDOSH sedang bergerak ke arah itu (kesinambungan dan lestari) kerana kami sedang berkembang dan tidak mahu ia hanya mengenai perniagaan semata-mata. Kami harus meneliti semua aspek termasuk daripada segi kemanusian dan kesedaran alam sekitar,” katanya. – UTUSAN
The post KPJBDOSH sumbang 50 kerusi roda kepada HSA appeared first on Utusan Malaysia.