Kurangkan sisa menerusi bantuan makanan
KEADAAN ekonomi semasa telah menyebabkan ramai yang terpaksa mengikat perut untuk mengurangkan perbelanjaan harian isi rumah.
Hal ini biasanya berlaku kepada golongan B40 dan pelajar yang mana mereka telah melatih diri untuk berjimat cermat dalam berbelanja.
Jadi, tidak hairan sekiranya golongan ini lebih memilih untuk berpuasa atau hanya makan sekali sehari supaya dapat terus bertahan dari segi kewangan.
Bagi membantu golongan ini, satu perusahaan sosial dari Ipoh, Perak, Kenyang by aRemnant melaksanakan misi untuk memberi makan kepada golongan yang memerlukan menerusi 117 Hub, Ipoh.
Menariknya, perusahaan sosial itu menyediakan makanan daripada bahan-bahan hasil pertanian ‘terbuang’ yang masih elok.
Menurut pengasasnya, Tan Yuen Mun atau Mun, 117 Hub merupakan model rumah kediaman lestari yang direka untuk menjadi ruang komuniti di mana pelajar dan orang ramai bebas menggunakannya secara praktikal.
“117 Hub merupakan rumah terbuka buat golongan B40 untuk mendapatkan bantuan menerusi program-program yang dianjurkan dan pada masa sama mereka bebas gunakan ruang di rumah ini sebagai lokasi untuk melakukan kerja atau menjana pendapatan.
“Rumah ini berkonsep lestari kerana perabot yang kami gunakan semuanya terpakai (kitar semula), ia juga bertujuan untuk membantu masyarakat dengan keperluan asas yang mereka perlukan bagi kelangsungan hidup,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.
Jelas Mun, dia menubuhkan 117 Hub selepas secara tidak sengaja berkenalan dengan seorang pelajar daripada keluarga B40 yang hampir gagal dalam pengajian di universiti kerana masalah kewangan dan kesihatan.
Kongsinya lagi, melihat situasi itu, dia membantu pelajar tersebut menerusi keperluan asas terutama makanan bagi mengurangkan perbelanjaan bulanan dan kini pelajar itu sudah berjaya dan menjadi pakar dalam bidang perubatan.
Kepuasan dikecapi Mun melihat pelajar itu berjaya telah memberi inspirasi buat dirinya untuk menubuhkan 117 Hub bagi membantu lebih ramai orang terutama pelajar yang memerlukan.
Antara program bantuan yang dilaksanakan di bawah 117 Hub adalah Makanan Kenyang RM0 yang merupakan sumbangan barangan basah seperti sayur, daging, ayam dan sebagainya kepada golongan kurang berkemampuan.
Jelas Mun, program ini merupakan serampang dua mata iaitu selain menyumbang makanan, ia juga merupakan usaha pihaknya ke arah melestarikan alam sekitar.
“Makanan yang disumbangkan merupakan hasil pertanian yang tidak layak dijual tetapi tidak rosak atau busuk dan masih boleh diolah untuk menjadi hidangan yang enak serta berkhasiat.
“Biasanya makanan ini akan dibuang begitu sahaja dan menjadi sisa pepejal, namun menerusi program ini kami mengambil insiatif untuk memanfaatkan sumber tersebut dan menyalurkan ia kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, program Makanan Kenyang RM0 turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk rakan kongsi dari seluruh Malaysia seperti Rise Against Hunger (RAH), BEACON Chicken (Beacon Mart), Fantastic Pastry Academy dan petani sayur (Uncle Leong) dari Cameron Highlands dan ladang Ezy dari Ipoh yang membantu penyediaan lebihan atau ‘makanan yang diselamatkan’ yang sepatutnya memasuki tapak pelupusan sampah.
Program pemakanan Kenyang juga telah dipuji oleh Biji-biji Initiative melalui Program Pemecut Impak dengan kerjasama Yayasan Hasanah.
Melaluinya, Kenyang telah dianugerahkan pembiayaan benih dan diiktiraf kerana potensinya untuk menggalakkan sara diri, penjanaan pendapatan dan amalan mampan dalam kalangan komuniti B40 di Ipoh serta menangani isu kelaparan melalui konsep ‘sifar sisa makanan’.
Menggunakan konsep sisa sifar dengan rakan kongsi yang berfikiran sama, mereka bersama-sama menyumbang hasil tanaman untuk memberi makan kepada komuniti.
Selain itu, bantuan Makanan Kenyang RM0 kini turut membantu menyediakan makanan untuk kanak-kanak yang tinggal dalam isi rumah B40 di Chemor, Perak.
The post Kurangkan sisa menerusi bantuan makanan appeared first on Kosmo Digital.