Bh19niosh o bhfield image listing featured v2. Var 1708332922

Latihan percuma kepada 10,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan

essabuyamin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperuntukkan RM12 juta untuk melatih 10,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan (OPFA) di tempat kerja di seluruh negara, secara percuma.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif berkenaan bagi menggalakkan peserta mengambil bahagian dalam program latihan OPFA yang dilancarkan hari ini.

“Mereka yang menyertai program latihan tiga hari berkenaan boleh mendapat tuntutan levi daripada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

“Program yang julung kali diadakan itu adalah sebahagian anjakan paradigma KSM yang mahu melihat soal keselamatan dan kesihatan pekerja ditangani bukan sekadar dari aspek fizikal tetapi juga merangkumi kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Kali (COSH) ke 24 dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke 6 (SCICOSH) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi NIOSH, Chong

Chien Jen dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

Steven berkata peserta program akan diberikan kemahiran untuk mengenali tanda-tanda awal tekanan psikologi dan langkah perlu diambil bagi membantu rakan sekerja yang berdepan dengan masalah terbabit.

“Latihan yang diberi akan meningkatkan kemahiran berkomunikasi peserta serta mengenalpasti kaedah tepat untuk merujuk individu yang berhadapan dengan masalah psikososial kepada pakar berkaitan.

“Selain itu, inisiatif berkenaan juga mampu memperkukuh budaya positif dalam organisasi terbabit kerana ia membuktikan sikap prihatin majikan terhadap kesejahteraan mental pekerja selaras dengan peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022,” katanya.

Steven berkata sebelum ini, NIOSH sudah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Pekerja (EAP) yang bertujuan membantu mengenalpasti dan menangani masalah kesihatan mental pekerja di peringkat awal agar prestasi mereka di tempat kerja tidak terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd