LBS umum dividen tertinggi, 2.70 sen sesaham bagi FYE2023
PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS), hari ini mengumumkan bahawa keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-24 telah dimuktamadkan dengan jayanya.
Penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FYE2023), bersama-sama dengan Laporan Pengarah dan Juruaudit telah dibentangkan untuk pertimbangan dan diterima oleh para pemegang saham Kumpulan.
Kesemua 10 resolusi biasa yang dinyatakan di dalam Notis AGM turut diluluskan oleh para pemegang saham, termasuk dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.35 sen sesaham (Dividen Akhir) untuk FYE2023.
Bersama-sama dengan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.35 sen sesaham (Dividen Pertama) yang diumumkan pada 17 April 2024, jumlah keseluruhan dividen LBS bagi FYE2023 adalah berjumlah 2.70 sen sesaham.
Ia merupakan dividen tertinggi pernah direkodkan LBS berikutan prestasi kewangan yang teguh dan konsisten.
Dengan mengutamakan pencapaian keputusan yang mantap, LBS telah meraih pencapaian penting ini sekaligus menunjukkan komitmen mereka untuk menyampaikan nilai yang besar kepada para pemegang saham, di samping imbuhan ganjaran atas kepercayaan dan keyakinan pelabur.
Dividen Pertama dan Dividen Akhir akan dibayar masing-masing pada 16 Julai 2024 dan 12 September 2024 kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam Rekod Pendeposit LBS pada 28 Jun 2024 dan 30 Ogos 2024.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San mengulas, kelulusan resolusi AGM ke-24 itu mencerminkan prospek positif dalam kalangan pemegang saham serta Lembaga Pengarah.
“Keputusan sebulat suara ke atas kesemua resolusi merupakan bukti tadbir urus kukuh, visi yang strategik serta prestasi mantap kewangan Kumpulan.
“Ahli lembaga pengarah turut berterima kasih kepada para pemegang saham di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan berharap agar kejayaan dan pulangan yang lebih baik akan turut diperoleh pada tahun berikutnya,” katanya dalam kenyataan.
Hock San menambah, setakat 31 Mei 2024, LBS telah mencatatkan jualan belum dibil sebanyak RM1.71 bilion, yang bakal diiktiraf secara progresif pada tahun-tahun akan datang.
Jelasnya, bersandarkan keluasan bank tanah sebanyak 2,661 ekar (1,076 hektar), LBS akan terus memacu pertumbuhan dan keuntungan, di samping memberi komitmen untuk memaksimumkan nilai pemegang saham, sekaligus memberikan pulangan jangka panjang yang lestari.
LBS telah melancarkan tiga projek baharu iaitu D’Island Residence, Alam Perdana Central Hub dan Bandar Saujana Putra. Ketiga-tiga projek ini mempunyai nilai gabungan sebanyak RM1.1 bilion.
“Kami akan terus berusaha untuk mencapai dan mengekalkan kejayaan. Dengan visi yang jelas, strategi yang kukuh dan komitmen terhadap kecemerlangan, saya yakin Kumpulan akan mencapai tahap yang lebih tinggi di masa akan datang.
“Dedikasi LBS terhadap nilai-nilai sosial serta pemuliharaan alam sekitar, adalah selaras dengan komitmen berterusannya untuk menerapkan kelestarian ke dalam model perniagaan.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuhkan tanggungjawab sosial korporat, malah ianya memberi manfaat jangka panjang untuk alam sekitar, selain meningkatkan daya saing pasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post LBS umum dividen tertinggi, 2.70 sen sesaham bagi FYE2023 appeared first on Kosmo Digital.