Malaysia cadang penganjuran Tahun Kemahiran ASEAN 2025
PETALING JAYA – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sesi perbincangan bersama sembilan pemimpin ASEAN di Geneva, Switzerland semalam.
Ini akan membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), serta jabatan dan agensinya seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.
Tahun Kemahiran ASEAN bakal menjadi usaha yang tepat memandangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan yang akan memfokuskan kepada meningkatkan integrasi serantau dengan memupuk perdagangan yang lancar, kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, dan rantau yang lebih saling berhubung.
Ia juga akan menggalakkan pelaburan ke dalam tenaga kerja ASEAN dengan mengutamakan pembangunan kapasiti, pendidikan, dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan, dengan tumpuan khusus pada bidang yang sedang meningkat naik seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi semikonduktor.
Steven Sim berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan sumber manusia di Malaysia, KESUMA komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif, dan berdaya tahan serta mampu bersaing dengan berkesan di pasaran global.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.
“Saya yakin, melalui program-program yang telah dikenal pasti, kami dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kami.
“Selain itu, kami juga dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sesi Perbincangan Pemimpin ASEAN itu turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Datuk Awang Haji Ahmaddin Haji Abd Rahman; Menteri Tenaga Kerja Singapura, Dr. Tan See Leng; Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Afriansyah Noor; Timbalan Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Laos, Inthalath Phongsaysack; Timbalan Menteri bagi Filipina, Benedicto Ernesto Bitonio Jr; dan Timbalan Menteri Tenaga Kerja Thailand, Siraphop Duangsodsri.
Hadir sama Duta dan Ketua Delegasi bagi Myanmar, Ei Ei Tin; Wakil Tetap ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Perdagangan Dunia bagi Vietnam, Mai Phan Dung Duta; Setiausaha Negara, Kementerian Buruh & Latihan Vokasional (MLVT) bagi Kemboja, Som Chamnan; dan Ketua Pengarah untuk Pekerjaan dan Latihan bagi Timor-Leste, Carlito Cabral.
Perjumpaan berkenaan adalah sebahagian daripada lawatan empat hari Menteri ke Geneva yang merangkumi pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (Konvensyen 155) ILO, penyampaian ucapan oleh Menteri pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112, serta lawatan bersama rakan kongsi dan orang kenamaan antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Srinivas Reddy, yang turut hadir pada perbincangan tersebut menzahirkan rasa optimis beliau bahawa inisiatif tersebut akan memberikan impak positif kepada rantau ini.
“Malaysia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usahanya untuk mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat, di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusianya.
“Saya yakin ia akan berjaya memacu agenda pembangunan kemahiran untuk ASEAN tahun depan, selaras dengan kedudukannya mempengerusikan ASEAN,” ujarnya.
Srinivas turut berkongsi pengalamannya dalam menganjurkan Tahun Kemahiran Eropah pada 2023 dan 2024 serta kesan positif inisiatif tersebut kepada kerajaan, perniagaan dan bakat di seluruh rantau berkenaan.
Tahun Kemahiran ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara, termasuk National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan.
Pada 2024 dan 2025, NHCCE akan menumpukan keutamaan kepada masa depan pekerjaan untuk rantau ASEAN. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia cadang penganjuran Tahun Kemahiran ASEAN 2025 appeared first on Kosmo Digital.