Northport pecah rekod pengendalian kargo dari satu kapal
zaky@bh.com.my
KLANG: Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC mencatat rekod baharu apabila mencapai 448,853 ‘freight weight tonnes’ (FWT) kendalian kargo keluli tertinggi dari sebuah kapal.
Northport dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu diraih daripada kapal kargo konvensional, MV Jin Chao, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 47,246 FWT yang dikendalikan daripada kapal MV Wu Yi Hai pada Mei 2022.
“MV Jin Chao, yang membawa muatan kargo keluli terdiri daripada gegelung keluli panas, rod wayar dan jentera kargo projek, telah menjalani operasi dari 10 hingga 13 Mac 2024 dengan lapan syif bekerja di Wharf 15, Northport.
“Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama yang baik di antara kakitangan dan kontraktor Northport, bagi memastikan pengendalian yang pantas.
“Selain itu, perancangan limbungan yang teratur juga memainkan peranan penting dalam mencapai prestasi pecah rekod ini melalui pergerakan operasi pengendalian kargo yang lancar dan selamat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, berkata pencapaian pengendalian kargo pukal pecah tertinggi untuk kapal MV Jin Chao itu adalah bukti komitmen berterusan syarikat di dalam memenuhi permintaan pasaran bagi perniagaan kargo konvensional.
“Saya amat berbangga dengan kakitangan, ‘stevedore’ dan ‘handler’ kami yang terbabit dalam operasi kapal ini yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah, termasuk bekerja pada dua hari pertama bulan Ramadan, untuk mencapai kecemerlangan operasi ini,” katanya.
Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, Northport telah mengendalikan sejumlah 1,883,588 FWT kargo konvensional, pertumbuhan sebanyak 9.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Beberapa segmen kargo utama menyumbang kepada peningkatan kendalian itu, termasuk produk kimia, bijirin jagung, produk besi dan keluli serta segmen ‘Roll-on Roll-off’ (RoRo).
Antara segmen berkenaan, produk besi dan keluli telah mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu sebanyak 36 peratus.
Northport berkata, lonjakan itu disumbangkan oleh penjualan produk besi dan keluli pada harga yang lebih kompetitif, dari China.
“Walaupun pelabuhan kami adalah pelabuhan berusia dengan kekangan skop untuk pengembangan, kami berjaya mengoptimumkan sumber yang ada dan mengurangkan gangguan bagi menangani cabaran sektor maritim.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelan Reinventing Northport telah menghasilkan pencapaian yang ketara, termasuk beberapa prestasi pecah rekod dalam operasi perniagaan kami.
“Pencapaian ini serta pelbagai anugerah yang dimenangi oleh Northport di peringkat nasional dan global dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta keterjaminan, telah mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah sebuah pelabuhan yang paling kompetitif di rantau ini,” tambah Azman.
Tahun lalu, Northport mencatat rekod pencapaian baharu selepas berjaya mengendalikan sejumlah 11,405,312 FWT kargo konvensional, melepasi rekod sebelumnya iaitu 11,115,670 FWT yang dicatatkan pada 2022.
Northport juga mencatatkan pengendalian bulanan tertinggi kargo konvensional pada Oktober 2023 dengan mencatatkan 1,129,145 FWT, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,078,538 FWT yang dicatatkan pada Mei 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd