Nazmi 1024x682 1

Perubahan suhu Antartika beri kesan signifikan terhadap iklim global

Nazmi

BANGI – Peningkatan suhu yang ketara di kawasan Artik dan Antartika bakal membawa perubahan signifikan terhadap iklim global serta menyebabkan kenaikan paras laut dunia sekiranya tidak dibendung.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sesetengah kesan akibat perubahan iklim sangat dahsyat dan tidak boleh dibalikkan seperti sedia kala sehingga mendatangkan kerugian dan kerosakan besar terhadap alam sekitar.

“Sebagai contoh, sistem batu karang yang dahulunya menjadi punca rezeki bagi penduduk di tepi pantai kini sudah musnah sepenuhnya.

“Malah, ada juga penduduk di kawasan pantai yang terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi disebabkan peningkatan tahap air laut,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Malaysian International Seminar on Antartica (MISA) ke-10 bertempat di Bangi Resort Hotel, di sini hari ini.

Menurut Nik Nazmi, kajian terkini menunjukkan krisis iklim yang sedang berlaku berupaya mengurangkan pendapatan penduduk global sebanyak 20 peratus dalam masa 26 tahun akan datang.

“Malah, kerosakan yang berlaku kepada dunia juga bakal menelan kos sebanyak enam kali ganda lebih besar berbanding kos yang diperlukan untuk menghentikan pemanasan global.

“Penemuan ini membuktikan ekosistem global terkait antara satu sama lain dan perlunya kerjasama antara semua pihak untuk menangani situasi ini,” ulasnya.

Menurut Nik Nazmi, seminar MISA ke-10 amat penting untuk memastikan saintis tempatan dan juga masyarakat memahami bagaimana krisis iklim dapat memberi kesan, bukan sahaja terhadap kawasan Antartika tetapi juga terhadap negara tropika seperti Malaysia.

“Saya percaya wilayah polar seperti Artik dan Antartika adalah barometer kesihatan planet kita.

“Malah, kini kita juga sedang menyaksikan beberapa perubahan yang paling dahsyat di muka bumi akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia,” ujarnya.

Tambah beliau, seminar tersebut juga sejajar dengan komitmen NRES yang merangkumi pembangunan dan penyelarasan perlaksanaan dasar berkaitan perubahan iklim.

“Saya yakin, dengan adanya seminar seperti ini, saintis Malaysia dapat memahami bagaimana iklim di kawasan kutub mempengaruhi cuaca negara kita.

“Saya juga ambil maklum, sejak penubuhan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) pada tahun 2012, sukacita saya melihat adanya peningkatan dalam jumlah penyelidikan yang dijalankan.

“Malah, sukacita saya ingin maklumkan bahawa kedudukan global Malaysia di tempat ke-36 dalam penerbitan kertas kerja kajian Artik dan Antartika adalah hasil sumbangan penyelidik tempatan, sekaligus membuktikan dedikasi dan keemerlangan penyelidik Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

The post Perubahan suhu Antartika beri kesan signifikan terhadap iklim global appeared first on Kosmo Digital.