Pulau Pinang cadang bina pusat proses najis ternakan atasi pencemaran
SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri dijangka akan membincangkan cadangan pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan di Kampung Selamat, di sini bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Kereh berpunca daripada sisa penternakan babi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, pusat pemprosesan najis ternakan itu perlu disegerakan susulan kebimbangan penduduk yang semakin meningkat.
Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang mahukan isu itu segera ditangani selain turut menjadi topik popular yang dibahaskan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.
“Kita percaya pusat pemprosesan najis ternakan ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah pencemaran, malah sisa yang dilepaskan dapat diproses menjadi gas sekali gus membekalkan tenaga elektrik yang dapat menjana ekonomi.
“Pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan ini akan mengelakkan sisa-sisa pembuangan najis disalurkan terus ke sungai.
“Justeru, kita akan bawa cadangan ini ke dalam mesyuarat Exco terlebih dahulu pada minggu ini, kemudian akan bincang hala tuju dengan semua jabatan berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ladang ternakan dan penyembelihan babi sebelum ke lokasi pencemaran Sungai Kereh, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Norazizi Adinan dan Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri Dr. Tishrin Muhammad Ismail.
Dalam pada itu, Tishrin berkata, penternak mematuhi paiwaian minimum dan menggunakan kolam penapisan untuk membersihkan sisa sebelum dilepaskan.-KOSMO! ONLINE
The post Pulau Pinang cadang bina pusat proses najis ternakan atasi pencemaran appeared first on Kosmo Digital.