Ratu 1 1024x576 1

‘Ratu Sampah’ dibicarakan hari ini

Ratu 1

STOCKHOLM – Seramai 11 orang dibicarakan hari ini berhubung pertuduhan membuang sisa toksik secara haram dalam kes jenayah alam sekitar terbesar di Sweden.

Syarikat pengurusan sisa yang pernah menerima pengiktirafan, NMT Think Pink  didakwa kerana membuang atau menanam kira-kira 200,000 tan sisa di 21 tapak  pelupusan haram tanpa niat untuk memprosesnya dengan betul.

Sisa toksik itu dikumpulkan dari Stockholm dan kawasan sekitarnya.

Antara mereka yang didakwa melakukan ‘jenayah alam sekitar  terburuk  itu ialah bekas ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan, Bella Nilsson. Bella suatu masa dahulu bekerja sebagai penari bogel dan pernah menggelar dirinya sebagai ‘Ratu Sampah’.

Menurut kertas pertuduhan, NMT Think Pink yang kini bankrap, ‘mengumpulkan  sisa tanpa niat atau keupayaan untuk mengendalikannya berdasarkan undang-undang alam sekitar’.

Bahan buangan itu terdiri daripada pelbagai jenis sisa seperti elektronik, logam, plastik, kayu, tayar dan mainan.

Bekas suami Nilsson dan pengasas  NMT Think Pink, Thomas bersama seorang usahawan tempatan, Leif Ivan Karlsson dan ‘broker sisa’, Robert Silversten turut didakwa dalam kes tersebut.

Kesemua 11 tertuduh menafikan melakukan sebarang jenayah.

Think Pink  diupah oleh sebilangan majlis perbandaran, syarikat pembinaan, koperasi pangsapuri dan individu persendirian untuk mengitar semula dan membuang sisa bangunan.

Tetapi perniagaan itu runtuh pada 2020 apabila pemiliknya ditangkap.

Bella Nilsson  yang kini menukar namanya kepada Fariba Vancor memberitahu media Sweden bahawa syarikat itu bertindak selaras dengan undang-undang  dan menegaskan dia adalah mangsa komplot oleh pesaing-pesaing perniagaan.

Dianggap sebagai kes jenayah alam sekitar terbesar di Sweden, siasatan polis mencapai lebih 45,000 muka surat, dengan 150 saksi dijangka memberi keterangan. Perbicaraan kes itu dijangka berlangsung hingga Mei 2025. – AFP 

 

The post ‘Ratu Sampah’ dibicarakan hari ini appeared first on Kosmo Digital.