‘Seolah-olah kenal rapat abang saya’ – Aufahanie bidas ‘teori’ netizen
PETALING JAYA – Keterlaluan dalam membuat andaian punca kematian Allahyarham Nidza Afham sebagai bunuh diri, Aufahanie menuntut seorang pengguna X memohon maaf dan memadam ciapannya.
Pengguna X yang menggunakan nama @os_bsn itu mendakwa klasifikasi sebagai mati mengejut bersamaan dengan bunuh diri.
“Nidza Afham disahkan mati mengejut. Dalam erti kata lain dia bunuh diri.
“Depresi adalah pembunuh dalam diam.
“Berdasarkan hantaran terakhir Nidza dalam aplikasi Tik Tok, berkemungkinan dia ada masalah dengan teman wanitanya,” tulisnya dalam beberapa ciapan dalam X.
Aufahanie atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar, 21, kemudian dilihat membidas kenyataan netizen tersebut dan memintanya supaya berhenti menabur fitnah pada orang yang telah tiada.
“Padam ciapan anda, berhenti sebarkan spekulasi dan fitnah terhadap arwah abang saya yang tercinta. Kami sekeluarga tidak reda dan tidak maafkan kenyataaan yang dibuat oleh anda @os_bsn.
“Siapakah kamu untuk menyebarkan ketidakpastian tentang cara pemergian abang saya. Sedangkan kami sekeluarga masih menunggu keputusan yang ‘pending’ (belum selesai) dari pihak hospital.
“Saya minta anda ke balai polis dan beri keterangan bahawa anda melihat dengan mata anda dan anda saksi abang saya ‘ambil’ nyawanya sendiri berserta dengan bukti. Jika tidak, sila padam ciapan berunsur fitnah segera,” tegasnya.
Aufahanie turut menempelak netizen tersebut yang sewenang-wenangnya mengaitkan teman wanita Allahyarham abangnya sebagai punca masalah.
“Siapakah kamu untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kamu mengenali abang saya dan teman wanitanya dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan teman wanitanya. Telefon bimbit arwah ada pada kami, dalam whatsapp kami baca perancangan mereka untuk berkahwin.
“Beberapa hari sebelum abang saya dimaklumkan hilang, mereka berdua baru sahaja pergi ke karnival perkahwinan untuk mencari lokasi majlis perkahwinan. Kami saksi bahawasanya mereka dalam keadaan yang baik, sedang bahagia bersama-sama.
“Teman wanita abang saya sangat baik. Kalau bukan sebab dia, kami takkan tahu yang abang sudah hilang dan takkan tahu di mana untuk mencarinya. Allah temukan abang dan dia (teman wanita) bersebab. Sebagai pertolongan kepada kami dan juga arwah abang saya,” tulisnya.
Selain Aufahanie, pengguna pengguna X yang lain dilihat turut meminta individu yang menyebarkan fitnah tersebut supaya memadam ciapannya dan membuat permohonan maaf segera kepada keluarga arwah dan teman wanitanya.
Semalam jenazah Allahyarham Nidza Afham, 23, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam sekitar jam 6.45 petang.
Terdahulu pihak mengklasifikasikan kes Nidza sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh mayat.
Pada Rabu, polis mengesahkan mayat yang ditemui terapung di sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman malam Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Seolah-olah kenal rapat abang saya’ – Aufahanie bidas ‘teori’ netizen appeared first on Kosmo Digital.