Pix nestle 2. Jpg123

Sumbangan besar Nestle terhadap belia dapat pengiktirafan daripada The King’s Trust

PETALING JAYA – Nestle Malaysia telah diiktiraf sebagai Penyokong Rakan Korporat Terhebat oleh The King’s Trust sebagai menghargai sumbangan besar syarikat untuk untuk menambah baik kehidupan dan pemikiran belia Malaysia menerusi inisiatif berterusan di bawah Program TEAM bersama Komuniti Belia Selangor (SAY).

The King’s Trust adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang bertekad untuk menambah baik kesihatan dan pendidikan global dengan menjalin hubungan antara kerajaan, syarikat korporat dan masyarakat madani. 

Bersempena penganugerahan tersebut, Nestlé Malaysia dan SAY telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melanjutkan kerjasama bagi memupuk kesedaran tentang alam sekitar dan amalan lestari dalam kalangan belia tempatan dengan menganjurkan satu siri bengkel dan program pendidikan yang menyeluruh.

Bengkel di bawah Program TEAM ini akan memperkasakan anak-anak muda untuk meningkatkan kesedaran tentang pelbagai aspek bertumpukan kelestarian, daripada pengurusan sisa dan kitar semula kepada prinsip ekonomi kitaran. 

Menerusi aktiviti amali seperti melibatkan diri dalam kerja membersihkan Sungai Klang dan kunjungan ke kemudahan kitar semula, bengkel-bengkel ini akan memberikan kemahiran, pengetahuan mendalam dan maklumat praktikal tentang penjagaan alam sekitar, yang membolehkan mereka mengamalkan amalan lebih lestari dan memberi inspirasi kepada masyarakat masing-masing untuk mencontohi usaha gigih mereka.

Pix nestle. Jpg234

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, pihaknya berbangga menerima pengiktirafan tersebut yang menunjukkan bahawa inisiatif yang dijalankan termasuk program TEAM dan usaha-usaha lain di bawah project Save, berada pada landasan yang betul. 

“Kerjasama kami dengan SAY membuktikan bagaimana usaha demi mencapai matlamat bersama boleh mencetuskan perubahan bermakna dengan mencapai lebih ramai anak muda menyemai nilai-nilai murni yang diperlukan demi masa depan yang lebih lestari.

“Dorongan dan semangat yang ditunjukkan oleh peserta memberikan harapan besar demi masa depan negara. Kami di Nestlé amat sukacita bukan sahaja untuk menganjurkan program-program yang bermakna, tetapi juga menyumbang ke arah membina generasi pencinta alam yang akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Belia Selangor, Aiman Syafiq Nazri menerangkan, syarikat seperti Nestlé boleh dijadikan contoh untuk mewujudkan komuniti lestari. 

Menurutnya, sumbangan syarikat tersebut menerusi Program TEAM Malaysia telah membawa kesan positif kepada belia setakat ini dengan memberikan peluang dan ilmu berharga kepada mereka dalam bidang kelestarian. 

“Menerusi kerjasama kami dengan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika, kami juga telah membuka peluang pekerjaan dalam bidang kelestarian bagi para peserta, termasuk dua alumni SAY yang menerima Anugerah Kelestarian The King’s Trust International atas dedikasi mereka terhadap pemuliharaan hutan.

“MoU dengan Nestlé jelas mencerminkan kesungguhan kami untuk menyemai budaya pengawasan alam sekitar dalam kalangan belia, memperkasakan mereka dengan alat dan ilmu yang sewajarnya untuk menggalakkan amalan lestari dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan, Nestlé Malaysia komited untuk meningkatkan kualiti hidup dan memainkan peranan dalam mewujudkan masa depan yang bebas sisa buangan menerusi pelbagai tindakan lestari. 

Salah satu daripadanya adalah Projek Save  yang memfokuskan kepada penciptaan model kitaran ekonomi untuk pembungkusan pasca pengguna, membabitkan 200,000 isi rumah meliputi enam bandar raya dan berjaya mengumpulkan 26,000 tan sisa pembungkusan pasca pengguna.

 Projek Kutipan Plastik Sungai Klang, Program Kutipan dan Kitar Semula dari Pintu ke Pintu, dan projek perintis Penggabungan Sektor Tidak Formal adalah antara beberapa contoh kerja bermakna yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan kitar semula dan pengurusan sisa. -KOSMO! ONLINE

 

The post Sumbangan besar Nestle terhadap belia dapat pengiktirafan daripada The King’s Trust appeared first on Kosmo Digital.