Tumpahan minyak Singapura, nelayan rugi lima hari tak turun laut
KOTA TINGGI – Memasuki hari kelima nelayan di sekitar Sungai Rengit di sini tidak dapat turun ke laut mencari rezeki gara-gara pencemaran minyak yang berlaku akibat pelanggaran kapal pada Jumaat lalu di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd. Ali berkata, seramai 183 nelayan yang menjadi ahli persatuan itu terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan persisir pantai di Sungai Rengit pulih bagi mengelak lebih banyak kerugian dialami.
Katanya, tumpahan minyak itu disedari komuniti nelayan pada Isnin lalu sewaktu mencari hasil laut di perairan Sungai Rengit.
“Kita sedar apabila nampak tompokan hitam terapung di laut, terus kita tarik jaring dan terus balik ke jeti.
“Sampai sahaja di Jeti, baru kami nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai. Esoknya memang kami semua tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan.
“Kesan minyak ini kalau terkena pada peralatan nelayan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf, buang sahaja la. Jaring nelayan ini ada simpulan yang kita panggil buku untuk mata jaring, kena minyak memang tidak hilang. Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, hasil tiada sebab berbau,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Tumpahan minyak Singapura, nelayan rugi lima hari tak turun laut appeared first on Kosmo Digital.