Takungan air tiga empangan MADA cukup sepanjang El Nino
ALOR SETAR – Paras takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih mencukupi bagi menampung keperluan sumber air pengairan aktiviti tanaman padi dan kegunaan domestik sepanjang musim El Nino.
MADA dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, jumlah keseluruhan takungan Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning sehingga hari ini adalah sebanyak 887,920 ekar kaki bersamaan 72.60 peratus.
“Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 625,000 ekar kaki bersamaan 71.43 peratus, Empangan Muda sebanyak 58,750 ekar kaki bersamaan 47 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 204,170 ekar kaki bersamaan 91.56 peratus,” katanya.
Menurutnya, status kemajuan aktiviti tanaman padi bagi musim 2/2023 pada ketika ini adalah di peringkat penuaian dengan 77.3 peratus di kawasan Muda sudah dituai, justeru penggunaan air untuk tujuan pengairan adalah pada tahap minimum.
Kata kenyataan itu lagi, jumlah turunan hujan di kawasan Muda sehingga semalam merekodkan bacaan lebih rendah iaitu sebanyak 59 milimeter (mm) berbanding jumlah purata turunan hujan 20 tahun iaitu 164 mm.
“Orang ramai tidak perlu risau biarpun jumlah takungan air di empangan sedikit berkurangan kerana ia masih memuaskan untuk permulaan aktiviti tanaman padi bagi musim 1/2024 yang bermula pada April ini,” jelasnya.
Katanya, bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga Jun ini, pihak MADA tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula.
“Ia bagi menjimatkan air dari empangan serta menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti sawah di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim 2/2023 selesai sepenuhnya pada penghujung bulan ini,” katanya.
MADA pada masa sama turut menasihatkan peladang agar menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.
“Kita juga mengingatkan agar peladang tidak melakukan aktiviti pembakaran jerami padi secara terbuka yang boleh menyebabkan kenaikan suhu panas dan pencemaran alam sekitar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Takungan air tiga empangan MADA cukup sepanjang El Nino appeared first on Kosmo Digital.