Ramai penduduk Selangor mental tertekan hidup di bandar
SHAH ALAM – Tekanan hidup di kawasan bandar dan keganasan domestik dikenalpasti antara punca masalah mental di kalangan penduduk di negeri ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, masalah mental tersebut juga dipengaruhi aspek ekonomi, pekerjaan dan situasi keluarga selain ia merupakan permasalahan sama di kebanyakan negeri di negara ini.
“Kita akan melatih sukarelawan di bawah kerajaan negeri supaya mempunyai pengetahuan asas tentang kes kesihatan mental agar dapat membantu sekiranya terdapat dalam komuniti mereka yang mengalaminya.
“Kita juga telah menerbitkan program bual bicara berhubung kesihatan mental oleh pakar psikitari di atas talian dengan 19 episod selain menjalankan enam bengkel kesihatan kepada 320 pemimpin mahasiswa (bagi tujuan bantuan awal),” katanya pada sidang DUN Selangor, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci peratusan bagi setiap punca ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainudin (PN- Sungai Burong) mengenai punca masalah mental dan langkah pencegahan awal bagi mengatasinya.
Jamaliah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama menjelaskan kerajaan negeri juga telah memperkenalkan program Selangor Mental Sihat (SEHAT) sejak 2021 sebagai inisiatif dalam menangani masalah mental.
Ujarnya, setakat 30 Jun lalu didapati seramai 1,354 orang telah menerima manfaat dalam program talian SEHAT dan 281 pesakit menerima subsidi rawatan psikiatri melibatkan konsultasi dianggarkan RM200 bagi satu sesi.
“Selain itu, perbincangan kerjasama telah dibuat antara kerajaan negeri dan Persatuan Kaunselor Antarabangsa Malaysia (PERKAMA) pada bulan lalu dalam menempatkan sembilan orang kaunselor bagi setiap daerah di Selangor bagi perkhidmatan kaunseling,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai penduduk Selangor mental tertekan hidup di bandar appeared first on Kosmo Digital.