Kebocoran tiub dandang punca asap hitam di PD
PUTRAJAYA – Pencemaran udara yang mengganggu penduduk di beberapa kawasan perumahan berhampiran sekitar Port Dickson pada 19 Jun lalu dilaporkan berlaku ekoran kebocoran pada tiub dandang di sebuah premis penapisan minyak mentah di kawasan itu.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataanya menjelaskan, pelepasan asap hitam itu menyebabkan pencemaran udara dan mengganggu penduduk di perumahan berhampiran seperti di Taman Toh Kee Kah dan Taman Mewah.
“Siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada hari yang sama mendapati premis itu mengalami insiden kebocoran pada tiub dandang (boiler).
“Proses penapisan minyak mentah telah dihentikan dengan segera (emergency shutdown).
“Bagi tujuan keselamatan, gas yang terhasil disalurkan ke unit flare untuk pembakaran sebelum dilepaskan ke udara,” katanya.
Jelas kenyataan itu, pembakaran di unit flare turut menyebabkan pelepasan asap hitam berikutan pembakaran gas yang tidak sempurna.
“Semua proses telah dihentikan untuk tindakan pembaikan di dandang oleh pihak premis.
“JAS juga telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) supaya pihak premis mengemukakan program pemantauan berdasarkan Peraturan 22(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014,” jelasnya.
Katanya, sebelum beroperasi semula, pihak premis turut memaklumkan penduduk berhampiran pada 2 Julai berhubung proses startup yang dijadualkan bermula 3 hingga 6 Julai.
“Penduduk juga telah dimaklumkan bahawa terdapat kemungkinan gangguan bersifat sementara seperti bunyi bising dan pelepasan asap hitam dari unit flare sepanjang tempoh startup tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kebocoran tiub dandang punca asap hitam di PD appeared first on Kosmo Digital.