Whatsapp image 2024 10 12 at 12. 21. 06 pm

Sungai Pisang, Sungai Gombak bebas pencemaran minyak -LUAS

Whatsapp image 2024 10 12 at 12. 21. 06 pm

PETALING JAYA – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan insiden tumpahan minyak susulan kemalangan sebuah treler di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) semalam tidak menjejaskan dua sungai berhampiran lokasi kejadian.

Menerusi satu kenyataan LUAS berkata, pemantauan pihaknya sehingga pukul 9 pagi tadi mendapati dua sungai iaitu Sungai Pisang dan Sungai Gombak serta kawasan sekitarnya bebas daripada potensi dan risiko pencemaran sumber air.

“LUAS merakamkan penghargaan kepada pihak ANIH Berhad kerana berjaya mengawal risiko insiden tersebut daripada mendatangkan pencemaran dan impak yang lebih besar kepada sumber air negeri dan di atas komitmen untuk bersama-sama memastikan tiada permasalahan kepada sumber air,”katanya di sini hari ini.

Terdahulu kata LUAS, kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak oleh syarikat pemilik kenderaan terlibat telah selesai dilaksanakan pada pukul 5 pagi tadi.

“Ekoran hujan lebat bermula sekitar jam 11.30 malam semalam di lokasi, ia telah menyebabkan minyak yang terkumpul di sump pit lebuh raya mengalir masuk ke Sungai Pisang dan Sungai Gombak sebelum kerja-kerja penyedutan dan pembersihan selesai dilaksanakan,”katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah treler dipercayai membawa muatan cecair disyaki minyak terbabas sebelum terbalik di Kilometer 27.8 di Lebuh Raya KLK semalam.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam hantaran di media sosial memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 5.18 petang.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan keseluruhan lorong menghala ke ibu kota terhalang.

Kejadian tersebut turut mengorbankan pemandu treler itu. – KOSMO! ONLINE

The post Sungai Pisang, Sungai Gombak bebas pencemaran minyak -LUAS appeared first on Kosmo Digital.