NIOSH bentang kajian kesejahteraan mental di tempat kerja di Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 Denmark
essabuyamin@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencipta sejarah selepas terpilih menjadi institut penyelidikan luar negara tunggal dijemput membentangkan kajian di Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 anjuran Pusat Penyelidikan Stres Copenhagen di Universiti Copenhagen, Denmark.
NIOSH dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembentangan dalam persidangan yang menghimpunkan pakar kesihatan mental daripada seluruh dunia itu baru-baru ini, membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap sumbangan Malaysia dalam penyelidikan terapi kesihatan mental.
Katanya, delegasi NIOSH diketuai Pengarah Eksekutif, Ayop Salleh dan disertai Pakar Teknikal, Siti Nurani Hassan yang membentangkan kajian bertajuk Elektroensefalografi (EEG) dan Variabiliti Kadar Jantung (HRV) Dalam Reaksi Terhadap Pelbagai Terapi Kesihatan Mental.
“Penyelidikan berkenaan dilakukan oleh NIOSH dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja.
“Ia susulan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan,” katanya.
Kenyataan berkenaan memaklumkan, pembentangan NIOSH berkenaan menunjukkan tindak balas fisiologi terhadap terapi kesihatan mental menggunakan dua biomarker utama iaitu aktiviti elektrik otak (EEG) dan HRV variabiliti kadar jantung (HRV) bagi memahami hubungan minda dan tubuh serta menunjukkan bagaimana terapi yang berbeza mempengaruhi istirehat dan kesihatan mental.
“Kajian berkenaan membabitkan tiga pendekatan terapi utama iaitu latihan pernafasan dalam, aromaterapi dengan minyak pati dan Ruqyah (bacaan al-Quran), bersama kumpulan kawalan untuk perbandingan hasil cerapan.
“Hasil kajian menunjukkan pernafasan dalam dan aromaterapi adalah kaedah yang berkesan untuk mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja.
“Terapi yang mudah dilaksanakan ini membantu pekerja mencapai ketenteraman, mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan fokus,” katanya.
Katanya, delegasi NIOSH Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Kebangsaan untuk Persekitaran Kerja (NFA) Denmark bagi merangka kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran baharu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia termasuk isu berkaitan kesihatan mental.
“Langkah itu juga selari dengan usaha NIOSH untuk melatih 10,000 peserta di bawah Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA) secara percuma,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd