WhatsApp Image 2025 03 02 at 09.21.28

Bront Palarae dilantik Profesor Adjung MMU

WhatsApp Image 2025 03 02 at 09.21.28

PETALING JAYA – Pelakon Bront Palarae kini dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik (FCA), Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Menurut kenyataan MMU, pemilihan Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, adalah berlandaskan kredibiliti, dedikasi serta pengalaman luas di arena seni.

“Bront Palarae ialah seorang penggiat profesional dalam industri hiburan Malaysia dengan berpengalaman selama lebih dua dekad di bidang lakonan, penerbitan dan seni kreatif.

“Beliau sudah membintangi lebih 70 filem merentasi tujuh negara, termasuk memfokuskan karier seninya di tanah air, Indonesia serta Thailand.

“Seorang tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront sudah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” kata kenyataan itu.

Bront juga aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa iaitu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Dedikasinya terhadap masyarakat terserlah menerusi peranan sebagai duta UNICEF Malaysia bagi kempen, Janji Saya Kepada Kanak-kanak dari 2014 hingga 2015 yang memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Pengalaman industri Bront yang luas dan komitmen positifnya terhadap kempen sosial kemanusian secara tidak langsung memantapkan profil kerjayanya,” ujarnya.

Selain Bront, dua penggiat seni terkenal dalam bidang animasi iaitu Nizam Razak dan Usamah Zaid Yassin turut dilantik MMU sebagai Profesor Adjung di fakulti sama.

Gelaran akademik diraih itu menyaksikan Bront sebaris dengan beberapa selebriti tanah air lain seperti Datuk Afdlin Shauki, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Ras Adiba Radzi dan Datuk Cef Wan.

Sebelum ini, Afdlin pernah dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Manakala, Cef Wan pula menerima gelaran Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) juga di UUM pada 2017. – KOSMO! ONLINE

The post Bront Palarae dilantik Profesor Adjung MMU appeared first on Kosmo Digital.