Runtuhan binaan ECRL hempap kereta dipandu wanita: Timbalan menteri tinjau lokasi, dedah punca kejadian

Bh19susulhempapecrl o bhfield image listing featured v2. Var 1763536176

KUALA LUMPUR: Perlanggaran boom skylift dengan struktur sementara steel canopy dipercayai punca insiden runtuhan di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 8, Jalan MRR2 FT28 di Batu Caves, dekat sini semalam yang menyaksikan seorang wanita nyaris maut apabila keretanya dihempap runtuhan struktur.

Boom skylift merujuk jentera atau platform kerja udara menggunakan ‘lengan’ berengsel untuk mengangkat pekerja atau peralatan binaan ke kawasan tinggi seperti kerja pembinaan, membaiki lampu jalan, penyelenggaraan bangunan dan pemasangan papan tanda. Steel canopy merujuk struktur kanopi diperbuat daripada keluli, biasanya digunakan sebagai bumbung tambahan untuk memberi perlindungan daripada hujan, panas atau sebagai elemen seni bina.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang semalam, seorang wanita nyaris maut apabila kereta Suzuki Swift dipandunya dihempap struktur projek berkenaan. Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang melawat lokasi kejadian hari ini, berkata punca kejadian itu berdasarkan siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor.

Katanya, ketika kejadian, kerja pemeriksaan ketebalan cat oleh subkontraktor menyebabkan boom skylift terlanggar struktur perlindungan sementara, yang sememangnya tidak direka untuk menampung beban hentakan.

“Kerja berisiko tinggi itu dijalankan tanpa kebenaran bertulis (Permit Kerja) daripada kontraktor utama. JKKP sudah mengeluarkan notis larangan kepada kontraktor utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, melarang sebarang kerja pemeriksaan ketebalan cat diteruskan sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan oleh syarikat itu,” katanya pada sidang media.

Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci diteruskan bagi menentukan punca sebenar insiden serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi keperluan keselamatan, manakala JKKP diarah menjalankan pemeriksaan keseluruhan jajaran ECRL yang berdekatan jalan raya bagi memastikan setiap kerja oleh kontraktor mematuhi peraturan sedia ada.

“Semua kontraktor perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, termasuk memastikan pentaksiran risiko bermula sejak peringkat reka bentuk dan dilaksanakan secara berterusan sepanjang projek.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan komitmen untuk terus mempertingkat pemantauan terhadap projek pembinaan berisiko tinggi bagi memastikan keselamatan di tapak bina sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

Mengenai mangsa, Abdul Rahman memaklumkan wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dilaporkan trauma dan diberikan cuti sakit selama tiga hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles