Laporan runtuhan binaan ECRL hempap kereta diketahui kurang 2 minggu – KSU KESUMA
REMBAU: Laporan penuh siasatan kes seorang pemandu wanita nyaris maut selepas kereta dipandunya dihempap tiang perancah projek pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Batu Caves berdekatan tol Gombak, akan diketahui dalam tempoh kurang dua minggu.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof, berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sudah pun turun padang mengumpul maklumat sebelum laporan penuh dimuktamadkan.
“Hasil laporan itu nanti baru kita nyatakan apakah perkara yang perlu diberikan perhatian sama ada tindakan mahkamah atau sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI KESUMA di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pelanggaran ‘boom skylift‘ dengan struktur sementara ‘steel canopy’ dipercayai punca insiden runtuhan di tapak projek ECRL Seksyen 8 itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang 18 November lalu itu, wanita yang nyaris maut apabila keretanya dihempap runtuhan struktur berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Azman berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada insiden berkenaan membabitkan sebarang bentuk kecuaian.
“Insya-Allah dalam laporan siasatan itu nanti kita akan dapat tahu, sama ada isu kecuaian atau tidak mematuhi skop yang disediakan ataupun kecuaian dalam konteks tenaga pekerja yang terlibat dan teknologi yang digunakan bermasalah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd