8 kilang perabot haram disita

Bh4sita o bhfield image listing featured v2. Var 1772608480

TEMERLOH: Lapan kilang perabot yang beroperasi secara haram disita dalam Operasi Bersepadu Industri Berasaskan Kayu (IBK) Pahang, di daerah ini, hari ini.

Kesalahan lain turut dikesan terdapat kilang yang beroperasi di atas tanah berstatus pertanian yang hanya boleh diusahakan dengan aktiviti bercucuk tanam sahaja.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Mohd Mustakim Semail berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemilik premis kilang perabot di negeri ini yang terbukti menjalankan perniagaan tanpa lesen atau secara haram.

Katanya, tindakan tegas menanti pemilik premis yang dianggap degil dan tidak menghormati undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Menurutnya, serbuan di kilang membuat bidai kayu di Triang, Bera, semalam mendapati mereka

beroperasi tanpa lesen, pemiliknya mendakwa dia tidak mengetahui perusahaan yang diusahakan itu memerlukan lesen yang dikeluarkan JPNP.

“Di kilang terbabit kita turut menyita 22 unit pelbagai jenis mesin termasuk empat unit mesin menganyam bilah kayu untuk dijadikan bidai. Notis menutup sementara premis dikeluarkan dan pemiliknya perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan.

“Kita akan terus berusaha mengesan kilang perabot yang beroperasi tanpa lesen, terdapat banyak premis perabot di negeri ini yang terbabit mengeluarkan pelbagai jenis perabot untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada Operasi Bersepadu IBK Pahang, di sini hari ini.

Operasi tiga hari bermula semalam dibahagikan kepada dua kumpulan disertai lebih 40 anggota Unit Penguatkuasaan JPNP Zon Pahang Barat dan Zon Pahang Timur, dibantu Unit Industri dan Pengusahasilan JPNP, Majlis Daerah Bera (MDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Beliau menambah, setiap kali serbuan kilang perabot tanpa lesen dilakukan pemiliknya memberi alasan mereka tidak mengetahui perlu memiliki lesen daripada JPNP sedangkan mereka mendapat bekalan sumber kayu daripada kilang yang memiliki lesen sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles