Wai Ching tawan Menara Merdeka 118, peranan sebagai bapa jadi cabaran
![]()
KUALA LUMPUR – Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching mengakui cabaran sebagai bapa memberi kesan terhadap persediaannya, namun tetap berjaya mencatat kemenangan dalam Kesuma Merdeka 118 Vertical Challenge 2026, hari ini.
Menurutnya, catatan masa 16 minit 03 saat untuk menamatkan pendakian 2,845 anak tangga melibatkan 118 tingkat itu tetap membanggakan walaupun tidak mencapai sasaran peribadi.
“Gembira, itu yang pasti. Walaupun tak capai masa sasaran 15 minit 30 saat, tapi 16 minit 03 saat ini pun saya sangat bangga,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Kesuma Merdeka 118 Vertical Challenge 2026 di Merdeka 118 hari ini.
Tambahnya, kekurangan tidur akibat menjaga bayi berusia lima bulan turut memberi cabaran menjelang pertandingan tersebut.
“Memang susah jadi seorang ayah. Sekarang baru faham dan tabik kepada semua ibu bapa. Bukan senang nak urus keluarga dan dalam masa sama kekalkan prestasi sebagai atlet,” ujarnya.
Wai Ching berkata, perubahan rutin latihan juga terpaksa dilakukan susulan komitmen sebagai bapa selain isterinya yang turut bergelar atlet.
Katanya, jika sebelum ini dia mampu menjalani latihan dua sesi sehari, kini hanya mampu melakukan satu sesi latihan berintensiti tinggi.
“Sekarang saya kena ubah cara latihan. Saya juga perlu jaga anak bila isteri berlatih. Kadangkala bila nak mula latihan pun tak boleh sebab anak menangis,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia tetap berbangga apabila berjaya mencatatkan rekod Malaysia Book of Records sebagai individu terpantas memanjat Menara Merdeka 118.
Acara tersebut dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 dengan penyertaan kira-kira 2,500 peserta dari dalam dan luar negara.
Program berkenaan turut bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat selain meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Wai Ching tawan Menara Merdeka 118, peranan sebagai bapa jadi cabaran appeared first on Kosmo Digital.