Izwan Hasli terima Ijazah Kehormat Doktor Universiti, Heriot-Watt University
![]()
PETALING JAYA – Peneraju dalam pembangunan hartanah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts (Dr) Izwan Hasli Mohd. Ibrahim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Universiti (DUniv) oleh Heriot-Watt University Malaysia (HWUM) atas kepimpinan beliau dalam sektor pembangunan hartanah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penghormatan itu adalah untuk menghargai usaha beliau memperjuangkan pembangunan mampan dan transformasi bandar yang berfokuskan komuniti malah kerja beliau mencerminkan komitmen yang kuat terhadap tanggungjawab alam sekitar, impak sosial, dan peranan kepimpinan sektor swasta dalam memajukan agenda pembinaan negara.
Turut menerima pengiktirafan tersebut adalah bekas Ketua Hakim Negara, Tun (Dr) Tengku Maimun Tuan Mat bagi menghargai sumbangan luar biasa beliau kepada pembinaan negara, integriti dan kemajuan yang mampan.
Penghormatan kepada dua tokoh itu disampaikan pada Majlis Konvokesyen Universiti 2026 yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini yang mana seramai 309 graduan meraikan tamatnya pengajian mereka.
Majlis tersebut dipimpin oleh Pengetua dan Naib Canselor Universiti Heriot-Watt (United Kingdom), Prof. Richard A. Williams, Pro-Canselor HWUM, Datuk (Dr) Nicol Ann David dan Naib Pengetua HWUM,Prof Mushtak Al-Atabi, Provost.
Mengulas mengenai penghargaan tersebut, Izwan yang amat berbesar hati menerima anugerah ini berkata, sepanjang kerjayanya selama ini, beliau sentiasa percaya bahawa pembangunan pada dasarnya adalah mengenai menambah baik kehidupan dan mewujudkan komuniti yang akan membentuk generasi masa depan.
“Harapan saya adalah agar graduan muda kita merebut peluang di hadapan mereka, terus berinovasi, dan memimpin dengan matlamat.
“Pada pendapat saya, kejayaan tidak diukur hanya melalui pencapaian peribadi, tetapi lebih penting lagi, melalui impak positif yang kita cipta untuk komuniti, industri dan akhirnya di negara kita,” jelas beliau.
Sementara itu, Prof Richard menerangkan, Heriot-Watt adalah sebuah universiti yang mempunyai matlamat dan selama lebih dua abad, pihaknya kekal teguh pada prinsip mudah iaitu pendidikan dan penyelidikan harus memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami percaya bahawa pendidikan harus mudah diakses, praktikal, terhubung secara global, dan transformatif.
“Universiti adalah penting kerana ia melakukan lebih daripada sekadar memindahkan ilmu. Ia mengubah kehidupan, mewujudkan peluang dan menyatukan orang ramai merentas budaya dan latar belakang.
“Ia membina ekonomi masa depan dan membantu komuniti menyesuaikan diri dalam masa perubahan terutamanya hari ini,” ujarnya.
The post Izwan Hasli terima Ijazah Kehormat Doktor Universiti, Heriot-Watt University appeared first on Kosmo Digital.