Buli di tempat kerja tidak kenal pangkat atau kuasa
Buli di tempat kerja bukan lagi isu terpencil yang hanya berlaku di sesetengah organisasi. Bahkan, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira sektor pekerjaan, jawatan atau usia pekerja.
Lebih membimbangkan, ramai mangsa memilih untuk berdiam diri kerana takut dipulaukan, kehilangan pekerjaan atau dianggap tidak mampu menyesuaikan diri.
Keadaan ini menyebabkan budaya kerja yang tidak sihat terus berakar tanpa disedari. Walaupun tiada kecederaan fizikal yang jelas kelihatan, kesan emosi dan psikologi yang ditanggung mangsa boleh berlarutan dalam tempoh yang lama.
Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, buli di tempat kerja merujuk kepada tingkah laku yang berulang, tidak munasabah dan bertujuan atau memberi kesan menjatuhkan maruah, mengancam, mengasingkan atau menjejaskan kesejahteraan seseorang pekerja.

Menurutnya, ramai masih menyamakan buli dengan pertengkaran biasa atau perbezaan pendapat. Hakikatnya, kedua-dua situasi itu sangat berbeza kerana buli melibatkan penyalahgunaan kuasa, intimidasi dan tekanan yang berlaku secara berterusan sehingga mangsa berasa tertekan.
Katanya, persepsi buli hanya berlaku melalui kekerasan fizikal atau jeritan juga kurang tepat kerana terdapat pelbagai bentuk buli yang lebih halus dan sukar dikesan.
“Ada pekerja yang menjadi mangsa penghinaan secara terbuka di hadapan rakan sekerja. Tidak kurang juga yang dipersenda, diperlekehkan atau dijadikan bahan jenaka sehingga harga diri mereka semakin terhakis.
“Terdapat juga perlakuan seperti menyebarkan fitnah, memulaukan pekerja daripada mesyuarat penting, tidak menyalurkan maklumat berkaitan tugasan atau sengaja memberikan beban kerja yang tidak munasabah sebagai cara untuk menekan seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BULI GUNA TEKNOLOGI
Dalam era digital, buli turut berlaku melalui medium teknologi. Penggunaan aplikasi komunikasi kerja atau media sosial kadangkala menjadi saluran untuk mengugut, memalukan atau menyerang individu secara berterusan tanpa disedari.
Walaupun kesan buli seperti ini tidak meninggalkan lebam atau kecederaan fizikal, luka emosi yang dialami mangsa boleh menjadi jauh lebih mendalam.
Jika dibiarkan berpanjangan, ia berpotensi mencetuskan pelbagai masalah kesihatan mental.
Siti Fatimah berkata, seorang pekerja yang bersikap toksik juga mampu mempengaruhi keseluruhan budaya organisasi. Sikap gemar menghasut, menjatuhkan rakan sekerja, mencetuskan konflik serta enggan bekerjasama boleh merosakkan keharmonian di tempat kerja.
Katanya, apabila tingkah laku seperti itu tidak ditegur atau diambil tindakan, pekerja lain akan mula berasa tidak selamat. Kepercayaan sesama rakan sekerja semakin luntur dan motivasi untuk bekerja turut merosot.
“Akhirnya, budaya saling membantu berubah menjadi budaya saling mencurigai. Persekitaran kerja yang sepatutnya positif bertukar menjadi ruang yang penuh tekanan dan persaingan tidak sihat,” katanya.

MAJIKAN JADI PUNCA BULI?
Beliau turut menjelaskan budaya toksik bukan hanya berpunca daripada pekerja. Dalam sesetengah keadaan, majikan sendiri boleh menyumbang kepada suasana tersebut apabila kebajikan pekerja tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Contohnya, pekerja yang telah lama berkhidmat tidak diberikan peluang pembangunan kerjaya, penghargaan atau kemudahan yang sepatutnya. Keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak dihargai dan menghakis semangat untuk terus menyumbang kepada organisasi.
Mengulas punca berlakunya buli di tempat kerja, Siti Fatimah berkata, antara faktor utama ialah kurangnya kecerdasan emosi dalam kalangan individu, tekanan kerja yang gagal diurus dengan baik serta persaingan yang melampau.
“Gaya kepimpinan yang terlalu autoritarian, kegagalan mengambil tindakan terhadap pelaku serta budaya organisasi yang menganggap buli sebagai perkara biasa turut menyumbang kepada masalah tersebut.
“Masih ada organisasi yang menganggap tindakan memarahi, memalukan atau memberi tekanan secara berlebihan sebagai cara mendisiplinkan pekerja. Sedangkan pendekatan seperti itu hanya mewujudkan ketakutan, bukannya meningkatkan prestasi,” katanya.
Menurut beliau, kesan buli paling awal dapat dilihat pada diri mangsa. Mereka mudah mengalami tekanan, kebimbangan, kemurungan dan hilang keyakinan diri sehingga sukar memberikan tumpuan terhadap tugasan harian.
Ramai juga mangsa mengalami keletihan emosi atau burnout. Malah, masalah psikologi yang berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan fizikal seperti gangguan tidur, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit lain.
Pada masa sama, organisasi turut menerima tempiasnya. Produktiviti menurun, kualiti kerja merosot, kadar ketidakhadiran meningkat dan pekerja berbakat memilih untuk meninggalkan organisasi.
Dalam jangka panjang, keadaan itu menyukarkan organisasi mengekalkan tenaga kerja berkualiti selain menjejaskan imej dan reputasi syarikat di mata masyarakat serta bakal pekerja.
KEPEMIMPINAN BIJAK
Siti Fatimah menegaskan kepemimpinan memainkan peranan paling penting dalam membentuk budaya kerja yang sihat. Pemimpin perlu menunjukkan bahawa buli tidak akan sesekali diterima dalam organisasi.
Ini boleh dilakukan melalui pelaksanaan dasar sifar toleransi terhadap buli, mendengar setiap aduan secara adil, bertindak segera terhadap konflik serta memastikan kerahsiaan pengadu sentiasa dilindungi.
Latihan berkaitan komunikasi berkesan, kecerdasan emosi dan pengurusan konflik juga perlu diberikan secara berkala supaya setiap pekerja memahami cara berinteraksi dengan lebih profesional dan berhemah.
Beliau turut mengingatkan pemimpin yang memilih untuk berdiam diri terhadap perlakuan buli sebenarnya sedang memberi isyarat tingkah laku tersebut boleh diterima.
“Mangsa dan saksi kejadian tidak sepatutnya terus berdiam diri. Mereka digalakkan merekodkan setiap insiden, menyimpan bukti serta mendapatkan bantuan daripada penyelia, pegawai sumber manusia atau pegawai psikologi sebelum menggunakan saluran aduan yang disediakan organisasi,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya kejadian itu memberi risiko kepada keselamatan atau kesihatan psikologi pekerja, perkara tersebut boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau pihak pengurusan.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang diperkukuh melalui pindaan turut menegaskan tanggungjawab majikan menyediakan tempat kerja yang selamat daripada risiko psikososial seperti buli, gangguan dan keganasan.
Beliau menekankan buli di tempat kerja bukan isu peribadi semata-mata, sebaliknya isu organisasi yang memerlukan tindakan bersama.
MENANGIS SEBELUM MASUK PEJABAT
“Saya menangis setiap pagi sebelum masuk pejabat.”
Itu luahan seorang pekerja wanita di sebuah syarikat swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Rita.
Katanya, setiap pagi dia akan duduk beberapa minit di dalam kereta sebelum melangkah masuk ke pejabat. Bukan kerana malas bekerja, tetapi sedang mengumpulkan kekuatan untuk berdepan dengan orang yang sering menjatuhkannya.
“Setiap kali mesyuarat, saya akan dipersalahkan walaupun bukan saya yang melakukan kesilapan. Bila saya beri cadangan, mereka ketawa. Lama-kelamaan saya terus memilih untuk diam.
“Keadaan itu ada kalanya membuatkan saya menangis sebelum masuk ke pejabat. Perasaan itu (takut dibuli) sukar dikawal,” katanya.
Menurutnya, tekanan itu menyebabkan dia hilang minat terhadap kerja yang dahulunya sangat disayangi. Prestasinya mula merosot kerana fikirannya sentiasa dipenuhi rasa takut.
“Saya sudah beberapa kali menulis surat berhenti kerja, namun komitmen yang ada membuatkan saya berfikir banyak kali dan akibatnya, mental saya terjejas setiap hari,” ujarnya.

BEBAN KERJA BERLEBIHAN
Bagi seorang lagi pekerja yang dikenali sebagai Azuddin, 34 tahun, beban kerja yang sengaja diberikan secara berlebihan menjadi bentuk buli yang paling memenatkan.
Katanya, setiap kali tugasan berjaya disiapkan, akan ada lagi kerja baharu yang diberikan tanpa mengambil kira kemampuan atau masa yang diperlukan.
“Saya pernah siapkan kerja sampai lewat malam, tetapi esoknya saya tetap dimarahi. Saya rasa apa yang saya buat tidak pernah cukup baik.
“Rakan-rakan sekerja yang lain masih ada waktu senggang, tapi saya seperti terikat dengan kerja tanpa henti,” katanya.
Sama seperti Rita, Azuddin juga pernah beberapa kali menulis surat letak jawatan. Namun setiap kali memandang wajah anak-anak di rumah, dia memilih untuk bertahan kerana memikirkan komitmen keluarga.
“Saya pernah rasa hidup saya sudah tiada makna,” ujarnya.
DIPULAU TANPA SEBAB
Seorang penjawat awam, Nor Azfa pula memberitahu, dia pernah menjadi mangsa pemulauan di tempat kerja selama hampir dua tahun.
Dia berkata, rakan-rakan sekerja sengaja tidak memasukkannya ke dalam perbincangan penting, tidak berkongsi maklumat berkaitan tugasan dan sering bercakap buruk mengenainya di belakang.
“Setiap hari saya balik rumah dengan perasaan kosong. Saya menangis seorang diri kerana rasa diri tidak berguna,” katanya.
Menurutnya, tekanan yang berpanjangan membuatkan dia hilang selera makan, sukar tidur dan sering menyalahkan diri sendiri.
Malah, pernah terlintas di fikirannya semua penderitaan itu mungkin akan berakhir jika dia sendiri sudah tiada. Namun perasaan itu membuatkannya sedar dia memerlukan bantuan dan tidak boleh terus memendam seorang diri.
Dia akhirnya memberanikan diri mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga dan berjumpa kaunselor. Sedikit demi sedikit, dia mula memahami dirinya bukan punca kepada layanan buruk yang diterima.
Buli di tempat kerja bukan sekadar membuat seseorang hilang semangat bekerja. Ia mampu merosakkan kesihatan mental, hubungan kekeluargaan dan kualiti hidup jika terus dibiarkan.
The post Buli di tempat kerja tidak kenal pangkat atau kuasa appeared first on Utusan Malaysia.