Fenomena El Nino diramal lebih kuat berbanding 2025
![]()
PETALING JAYA: Fenomena El Niño diramal lebih kuat berbanding 2025 serta tempoh kering akan berpanjangan sekali gus meningkatkan potensi berlakunya jerebu merentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dengan intensiti yang semakin kuat, ia merupakan cabaran hebat khususnya bagi negara yang mempunyai kawasan tanah gambut yang sangat luas dan dalam.
Untuk itu, katanya, pihak kementerian telah menyertai Mesyuarat Ke-37 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan secara dalam talian yang melibatkan 11 Negara Anggota ASEAN.
“Semasa mesyuarat ini, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) telah melaporkan maklumat cuaca, titik panas (hotspots), asap jerebu dan fenomena El Niño yang diramalkan lebih kuat berbanding tahun 2025 serta tempoh kering akan berpanjangan dan meningkatkan potensi berlakunya jerebu merentas sempadan.
“Menyedari keadaan ini, NRES telah merancang beberapa strategi termasuk mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN bagi menyeru semua negara di selatan rantau ASEAN untuk mempergiat usaha dan melaksanakan persediaan berterusan.
“Ia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya El Niño yang kuat serta mencegah jerebu merentas sempadan dan mengurangkan intensitinya sekiranya berlaku,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Menerusi inisiatif Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan, beliau berkata, Tahap Amaran Dua telah diaktifkan pada 3 Ogos lalu.
“Negara-negara di selatan rantau ASEAN perlu mengemukakan Pelaporan Harian dan Tindak Balas Kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu dan tindakan yang telah diambil.
“NRES akan terus memantau maklumat tersebut sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang jerebu merentas sempadan susulan yang lebih serius.
“NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau dan melaporkan perkembangan terkini cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu yang melanda negara dari semasa ke semasa,” katanya.
Susulan cuaca panas dan kering serta jerebu, orang awam di kawasan yang terjejas adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi. – UTUSAN
The post Fenomena El Nino diramal lebih kuat berbanding 2025 appeared first on Utusan Malaysia.