Jerebu: Majikan perlu lindungi pekerja

26 jerebu 1

26 jerebu 1

APABILA jerebu mula kembali, antara nasihat yang sering diberikan ialah mengurangkan aktiviti di luar bangunan. Namun, pilihan itu tidak semudah bagi mereka yang bekerja di lapangan. Ada yang perlu berada di luar berjam-jam kerana di situlah tugas mereka perlu dilaksanakan.

Penghantar makanan, pekerja pembinaan, penyelenggaraan jalan dan utiliti, landskap, pengawal keselamatan serta pekerja dalam pelbagai sektor perkhidmatan merupakan antara kelompok yang banyak menghabiskan waktu di kawasan terbuka.

Apabila keadaan ini dialami kerana tuntutan tugas, jerebu bukan lagi sekadar isu alam sekitar. Ia juga menjadi risiko yang perlu diurus di tempat kerja.

Di sinilah kesiapsiagaan majikan menjadi penting. Jerebu yang baru mula menunjukkan tanda memberi ruang kepada organisasi untuk membuat persediaan sebelum keadaan bertambah buruk. Tugas yang memerlukan pekerja berada lama di luar boleh dikenal pasti lebih awal, begitu juga pekerjaan yang melibatkan aktiviti fizikal berat dan individu yang mungkin memerlukan perhatian tambahan jika kualiti udara terus merosot.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menyediakan garis panduan berkaitan perlindungan pekerja daripada kesan jerebu di tempat kerja yang boleh dijadikan rujukan. Ketika keadaan masih belum serius di semua kawasan, inilah masa yang sesuai untuk melihat semula panduan tersebut dan menyesuaikan persediaan dengan keperluan tempat kerja masing-masing.

Persediaan bukan bermaksud semua kerja luar perlu dihentikan sebaik sahaja jerebu muncul. Ada tugasan yang boleh dipercepatkan, ditangguhkan atau dijalankan pada waktu yang lebih sesuai. Aktiviti fizikal berat boleh dikurangkan apabila keadaan bertambah buruk, tempoh berada di kawasan terbuka dipendekkan dan pekerja digilirkan supaya orang yang sama tidak terdedah terlalu lama.

Bagi mereka yang banyak bekerja di lapangan, ruang rehat yang lebih terlindung juga wajar dipertimbangkan. Jika keadaan memerlukan, pekerja yang lebih mudah terjejas boleh diberikan tugas lain buat sementara waktu. Langkah seperti ini mungkin kelihatan mudah tetapi  memerlukan perancangan sebelum keadaan memaksa keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

Kesiapsiagaan juga bergantung pada kejelasan arahan. Siapa memantau perubahan Indeks Pencemaran Udara (IPU)? Siapa menentukan sama ada sesuatu tugasan perlu dikurangkan atau disusun semula? Bagaimana maklumat disampaikan kepada pekerja yang sedang berada di lapangan? Jika perkara asas ini sudah ditentukan lebih awal, tindakan boleh dibuat dengan lebih cepat apabila keadaan berubah.

Perlindungan pernafasan yang sesuai mempunyai peranan apabila diperlukan, bersama penerangan tentang cara penggunaannya. Namun, perlindungan pekerja ketika jerebu tidak boleh disempitkan kepada pemberian pelitup muka semata-mata. Mengurangkan tempoh pendedahan, menyusun kerja dengan lebih baik, menyediakan rehat yang sesuai dan memastikan pekerja memahami tindakan yang perlu diambil sama penting dalam pengurusan risiko.

Jerebu mungkin belum berada pada tahap serius di semua kawasan. Namun, itulah sebabnya persediaan perlu bermula sekarang. Dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tindakan yang baik bukan hanya berlaku selepas bahaya menjadi nyata, tetapi lebih awal sebelum risiko sempat membesar.

Jerebu mungkin datang dari luar pagar tempat kerja tetapi kesannya kepada pekerja berada dalam ruang tanggungjawab majikan. Ketika langit baru mula berubah, perlindungan sepatutnya sudah dirancang, bukan baru difikirkan. –UTUSAN

 

FAIRUS MUHAMAD DARUS & DR. NURUL LATIFFAH ABD. RANI

Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran,

Fakulti Sains Gunaan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

The post Jerebu: Majikan perlu lindungi pekerja appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles