ASEAN perlu semak semula perjanjian jerebu rentas sempadan
![]()
KUALA LUMPUR: Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang sudah berusia lebih dua dekad perlu disemak semula bagi memastikan mekanisme sedia ada benar-benar berkesan menangani krisis jerebu yang terus berulang di rantau ini.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perjanjian yang ditandatangani pada 10 Jun 2002 dan berkuat kuasa pada 25 November 2003 itu perlu disusuli pelan tindakan serantau yang lebih kukuh, mempunyai tempoh masa jelas serta mekanisme akauntabiliti berkesan.
Katanya, kegagalan membendung masalah jerebu secara berkesan selepas lebih 20 tahun menunjukkan pendekatan sedia ada perlu dinilai semula.
“Jika selepas lebih 20 tahun kita masih mengalami krisis jerebu yang sama walaupun mempunyai perjanjian serantau khusus untuk menanganinya, rakyat berhak mempersoalkan sama ada mekanisme ASEAN benar-benar berkesan.
“Saya menggesa supaya pemimpin ASEAN segera mengadakan semakan peringkat tinggi terhadap pelaksanaan perjanjian jerebu rentas sempadan dan menggubal pelan tindakan serantau yang lebih kukuh, mempunyai tempoh masa yang jelas serta mekanisme akauntabiliti yang berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ASEAN perlu berhenti menganggap jerebu sebagai masalah bermusim yang berulang setiap tahun tanpa penyelesaian menyeluruh.
“Kita mesti berhenti menganggap jerebu sebagai satu ritual (masalah bermusim) tahunan ASEAN,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia menggesa tindakan kolektif semua negara anggota ASEAN bagi meningkatkan kesiapsiagaan menangani risiko jerebu rentas sempadan menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berteraskan prinsip AATHP.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, semua negara anggota perlu meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan mengekalkan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi serta mempertingkat pengawasan titik panas.
Katanya, penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka juga perlu diperkasakan selain memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, jerebu bukan sekadar masalah cuaca, sebaliknya berkait dengan aspek tadbir urus, alam sekitar, kesihatan awam dan tanggungjawab serantau.
Katanya, selepas lebih dua dekad AATHP berkuat kuasa, rantau ini masih berdepan kitaran sama apabila kebakaran berlaku, asap merentasi sempadan, kualiti udara merosot, kesihatan rakyat terjejas serta sekolah dan aktiviti ekonomi terganggu sebelum tindakan diambil apabila keadaan menjadi serius.
“Ini bukan keadaan yang boleh diterima selepas lebih 20 tahun mempunyai perjanjian serantau khusus untuk menangani masalah jerebu.
“Dengan fenomena El Nino yang semakin menguat, cuaca lebih kering dan taburan hujan lebih rendah, risiko berlakunya titik panas dan jerebu rentas sempadan dijangka meningkat,” katanya.
Menurutnya, ASEAN perlu bergerak daripada sekadar komitmen kepada tindakan yang menghasilkan kesan nyata dalam menangani masalah jerebu.
Dalam pada itu, Lam Thye mencadangkan ASEAN mewujudkan mekanisme tindak balas jerebu serantau yang kekal termasuk pemantauan satelit masa nyata, perkongsian maklumat titik panas dengan segera dan keupayaan pemadaman kebakaran secara bersama.
Katanya, pembahagian tanggungjawab yang jelas antara negara anggota juga perlu diwujudkan apabila berlaku episod jerebu serius.
“Pencegahan dan sistem amaran awal bersama juga perlu dilaksanakan sebelum musim kering bermula, bukannya menunggu sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap membimbangkan.
“Kerjasama dalam pengurusan hutan dan tanah gambut perlu dipertingkatkan, khususnya di kawasan yang berulang kali menjadi lokasi kebakaran. Pencegahan mesti bermula di lapangan dan bukan hanya selepas asap sudah merentasi sempadan,” katanya.
The post ASEAN perlu semak semula perjanjian jerebu rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.