Dasar karbon baharu mampu tingkat permintaan tenaga kerja hijau

Fe3b4f94 solar panel installation envato 140225
Solar panel installation
Peralihan hijau malaysia dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 300,000 pekerjaan menjelang 2050, dengan dpkk berpotensi meningkatkan permintaan terhadap kemahiran dan profesion berkaitan karbon. (gambar envato elements)

PETALING JAYA: Pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) dijangka membuka lebih banyak pekerjaan hijau dan meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir dalam pelbagai bidang berkaitan pasaran karbon, menurut pihak berkepentingan.

Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) berkata dasar itu boleh meningkatkan permintaan terhadap pemaju projek karbon dan pakar gas rumah hijau (GHG).

Selain itu, tenaga mahir dalam bidang pengukuran, pelaporan dan verifikasi (MRV), serta profesional yang menjalankan proses pengesahan dan verifikasi juga akan diperlukan.

Jurutera, juruteknik, saintis data, juruaudit, pakar kelestarian serta profesional dalam bidang undang-undang dan kewangan yang mempunyai pengetahuan mengenai pasaran karbon turut berpeluang mendapat manfaat apabila pasaran itu berkembang.

“Paling jelas DPKK berpotensi melahirkan kumpulan tenaga kerja baharu yang mempunyai kemahiran hijau dan kepakaran profesional dalam keseluruhan rantaian nilai karbon,” menurut MGTC kepada FMT.

MGTC berkata sebagai contoh projek karbon biogas mungkin memerlukan jurutera dan juruteknik loji, selain pakar pemantauan metana, pakar pelepasan karbon, jurupengesah bebas dan profesional kewangan.

Projek karbon berasaskan perhutanan pula boleh meningkatkan permintaan terhadap pakar pengurusan hutan, ahli ekologi, pakar sistem maklumat geografi (GIS), pekerja lapangan dan pakar penderiaan jauh.

Bagaimanapun, MGTC berkata masih terlalu awal untuk menganggarkan jumlah pekerjaan yang boleh diwujudkan menerusi DPKK dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Ini bergantung kepada kadar pelaksanaan dasar, keupayaan menarik pelaburan serta jumlah dan skala projek karbon yang dibangunkan.

Walaupun jumlah pekerjaan yang bakal diwujudkan menerusi DPKK masih belum dapat dipastikan, pakar menganggarkan peralihan Malaysia kepada ekonomi hijau secara keseluruhannya boleh mewujudkan sekurang-kurangnya 300,000 pekerjaan baharu menjelang 2050.

Peluang itu sudah mula kelihatan apabila pelaburan hijau bernilai RM7.88 bilion pada 2024 mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan hijau, selaras Pelan Strategik Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) 2024-2030.

Pakar ekonomi alam sekitar Norlida Hanim Salleh berkata perkembangan itu memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan dan latihan bagi menyediakan tenaga kerja masa depan.

Menurut ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pekerja sedia ada juga perlu meningkatkan kemahiran supaya kepakaran mereka boleh digunakan dalam bidang seperti perakaunan karbon, pengauditan, pembangunan projek hijau dan teknologi rendah karbon.

“Kita perlu membuat penyesuaian dalam sukatan pelajaran. Sebagai contoh, dalam bidang perakaunan, sukatan pelajaran boleh diperkenalkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perakaunan karbon atau pengauditan karbon.

“Begitu juga dalam bidang ekonomi dan pengurusan. Kita boleh mula memperkenalkan kursus mengenai analisis projek hijau, dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan bidang lain supaya mereka memperoleh kemahiran yang bakal mendapat permintaan dalam masa terdekat,” katanya.

DPKK dilancarkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup pada 21 April bagi menyediakan kerangka nasional untuk mewujudkan pasaran karbon yang lebih tersusun, selain menggalakkan pelaburan dalam projek rendah karbon dan projek karbon.

Dasar itu bertujuan mengawal selia perdagangan karbon dan menyokong peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

Peraturan jelas, penyelarasan penting bagi kejayaan

Pakar pasaran karbon Aurora Tin berkata selain memastikan negara mempunyai tenaga mahir mencukupi, kejayaan DPKK juga bergantung kepada perundangan jelas, penyelarasan antara kerajaan serta prasarana sokongan mencukupi.

Beliau berkata Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dicadangkan akan membantu memperjelas bidang kuasa pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal selia sistem berkenaan.

“Penyelarasan strategik menerusi NRES sebagai pihak berkuasa kebangsaan yang ditetapkan (DNA), serta Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan (NDC), amat penting bagi memastikan dasar kerajaan persekutuan dapat diselaraskan dengan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

DNA ialah pihak berkuasa kerajaan yang meluluskan penyertaan Malaysia dalam projek kredit karbon antarabangsa.

NDC pula menghimpunkan kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyelaraskan peralihan negara secara menyeluruh ke arah ekonomi rendah karbon dengan pelepasan GHG sifar bersih.

Penyelarasan itu penting kerana Sabah dan Sarawak sudah mempunyai undang-undang masing-masing berkaitan perubahan iklim dan aktiviti karbon, manakala urusan tanah dan hutan sebahagian besarnya terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Pada masa sama, kerajaan persekutuan bertanggungjawab terhadap komitmen iklim Malaysia di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, pasaran karbon nasional perlu bergerak seiring dengan peraturan di peringkat negeri tanpa mewujudkan pertindihan syarat.

Tin berkata pembiayaan yang mencukupi juga diperlukan untuk membangunkan prasarana seperti sistem pendaftaran karbon digital yang akan digunakan bagi merekod dan menjejaki kredit karbon serta menyokong penyertaan Malaysia dalam pasaran karbon antarabangsa.

Beliau berkata kesedaran orang ramai dan penglibatan pihak berkepentingan lain juga perlu dipertingkat supaya masyarakat memahami cara sistem berkenaan berfungsi.

Ini termasuk memastikan masyarakat tempatan dan komuniti Orang Asli serta pribumi dilibatkan dalam projek karbon dan menerima manfaat yang adil daripada pelaksanaannya.

Related Articles