Serian masih catat IPU melebihi 300
![]()
PETALING JAYA: Pencemaran udara akibat jerebu teruk yang melanda beberapa negeri khususnya Sarawak menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila hanya satu kawasan iaitu Serian masih mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300.
Setakat jam 9 pagi ini, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan stesen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian kekal mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 343 untuk hari keempat berturut-turut.
Empat lagi kawasan di Sarawak juga masih terjejas apabila merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu melibatkan Sri Aman pada tahap 298, Kuching (276), Samarahan (257) dan Sarikei (227).
Sementara itu, 15 lagi kawasan berada di tahap tidak sihat dengan tujuh daripadanya masih di Sarawak iaitu Sibu pada bacaan 191, Bintulu (176), Kapit (176), Mukah (172), Samalaju (167), Limbang (155), ILP Miri (153) dan Miri (134).
Turut berada di tahap tidak sihat adalah Politeknik Kota Kinabalu pada bacaan 166, Kimanis (165), Kota Kinabalu (164), Labuan (162), Tawau (153) dan satu di Selangor iaitu melibatkan Johan Setia (112).
Berdasarkan papan pemuka APIMS, IPU dengan bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai sihat; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Keadaan itu dilihat semakin pulih berbanding kelmarin, apabila APIMS merekodkan empat lokasi di Sarawak mencatatkan IPU pada tahap bahaya dengan daerah Serian menjadi kawasan paling terjejas dan ‘diambang’ darurat apabila mencatatkan bacaan 475.
Jika bacaannya mencecah 500, daerah terlibat boleh diisytiharkan darurat akibat udaranya sangat berbahaya untuk penduduk setempat. –UTUSAN
The post Serian masih catat IPU melebihi 300 appeared first on Utusan Malaysia.