NGO alam sekitar sokong kerajaan hentikan permohonan lesen pelanggaran
KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) menyokong penuh tindakan kerajaan yang menghentikan permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014) bermula 1 Januari 2027.
Presiden PEM, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, tindakan sedemikian selaras dengan komitmen berterusan dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.
“Undang undang mesti diperkasakan mengambil kira kesejahteraan manusia dan alam sekitar terutamanya kepelbagaian biologi. Salah tindakan akan mendatangkan bencana yang memberikan kesan kepada ekonomi begara
“PEM sentiasa menyokong pemerkasaan undang-undang demi kesihatan manusia dan keseimbangan dan sistem ekologi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014) tidak lagi dipertimbangkan berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan penguatkuasaan penuh peraturan itu bermula 1 Jan 2027.
Arthur berkata, keputusan itu bertujuan memastikan komitmen berterusan kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.
PUB 2014 adalah Peraturan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan sejak 5 Jun 2014 bagi menggantikan PUB 1978, yang menetapkan semua industri yang tertakluk perlu mengawal pelepasan bahan pencemar mengikut nilai batas dan standard teknikal ditetapkan.
Arthur berkata, kerajaan sudah memberi tempoh peralihan selama lima tahun hingga 5 Jun 2019, diikuti beberapa siri pelanjutan tambahan bersyarat susulan permohonan pelbagai sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan itu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, undang-undang yang ada mesti diperkasakan, dipantau pelaksanaannya dan penguatkuasaan.
Katanya, pendidikan berkaitan alam sekitar khususnya pencemaran udara dan air mesti diteruskan dan diberikan kepada semua peringkat termasuk sekolah dan komuniti umum.
“Penglibatan NGO juga sangat penting dari segi pemantauan dan pendidikan dalam menyokong undang-undang yang ada,” katanya. – UTUSAN
The post NGO alam sekitar sokong kerajaan hentikan permohonan lesen pelanggaran appeared first on Utusan Malaysia.