MiSHA, NCC perkasa piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan 

Misha 1024x768 1

Misha

KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) serta Nanjing Chemical Construction Co. Ltd. (NCC) memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menerusi pertukaran kepakaran teknikal, pemindahan teknologi serta perkongsian amalan terbaik industri. 

Kerjasama itu diperkukuh menerusi lawatan rasmi delegasi MiSHA diketuai Naib Presidennya, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar ke ibu pejabat NCC di Yangxin Road, Nanjing, Jiangsu, China, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Persatuan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan berkenaan bukan sahaja membawa misi memperkasa piawaian KKP malah menjadi platform menterjemah semangat kebangsaan menerusi diplomasi industri. 

“Langkah ini sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama erat antara Malaysia dan China yang telah sekian lama terjalin berasaskan kepercayaan, perkongsian kepakaran dan kemakmuran bersama,” katanya.

Menurut MiSHA, sesi lawatan memberi fokus utama kepada pertukaran kepakaran teknikal, pemindahan teknologi moden dan adaptasi budaya keselamatan bertaraf global bagi mendepani cabaran industri kimia serta pembinaan berisiko tinggi.

Katanya,  penguasaan teknologi baharu dan perkongsian pengetahuan merentas sempadan adalah antara kunci utama dalam membangunkan tenaga kerja tempatan yang lebih kompeten, produktif dan berdaya saing.

“Antara amalan dan inovasi yang menarik perhatian delegasi MiSHA adalah penggunaan papan pemuka interaktif secara masa nyata yang membolehkan pihak pengurusan memantau prestasi KKP, pencapaian kualiti serta perkembangan kerja bagi keseluruhan projek yang sedang dilaksanakan.

“Sistem tersebut membolehkan maklumat dari tapak bina dipantau secara lebih tersusun dan pantas, sekali gus membantu pihak pengurusan membuat keputusan serta mengambil tindakan penambahbaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, delegasi MiSHA turut didedahkan kepada penggunaan mesin kimpalan mudah alih yang membolehkan sebahagian besar proses kimpalan dilakukan di aras tanah sebelum komponen dipasang di lokasi sebenar.

Pendekatan tersebut, katanya, bukan sahaja dapat mengurangkan keperluan pekerja melakukan kerja kimpalan di tempat tinggi malah mengurangkan pendedahan terhadap risiko kerja panas dan kerja di tempat tinggi.

“Teknologi berkenaan juga dilihat mampu mempercepat proses kimpalan sehingga hampir 50 peratus berbanding kaedah konvensional, sekali gus meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa kerja serta menghasilkan kualiti sambungan kimpalan yang lebih konsisten.

“Selain aspek teknologi, MiSHA  melihat beberapa pendekatan kawalan kerja berisiko tinggi yang ringkas tetapi praktikal. Antaranya penggunaan sistem pembesar suara semasa aktiviti heavy lifting bagi memberi amaran kepada pekerja supaya tidak memasuki radius atau zon larangan operasi pengangkatan,” katanya.

Menurut MiSHA, inovasi yang diperhatikan sepanjang lawatan tersebut menunjukkan bahawa peningkatan prestasi KKP tidak semestinya bergantung kepada teknologi yang kompleks semata-mata.

“Sebaliknya, gabungan teknologi, pendekatan kejuruteraan yang praktikal, sistem pemantauan berkesan serta disiplin operasi mampu memberi impak besar terhadap keselamatan, kualiti dan produktiviti sesuatu projek.” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar NCC, Fang Xiangqian menyatakan sokongan penuh syarikat itu terhadap kerjasama yang bakal diperkukuh bersama MiSHA, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik KKP.

Menurut beliau, pertemuan tersebut diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif dua hala antara NCC dan MiSHA di samping memperkukuh hubungan antara Malaysia dan China melalui kerjasama dalam bidang keselamatan serta kesihatan pekerjaan. – UTUSAN

 

The post MiSHA, NCC perkasa piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan  appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles