NGO sokong kerajaan hentikan permohonan lesen pelanggaran

27537ab4 1a6d 4a0c a900 5f54e95a74bf

27537ab4 1a6d 4a0c a900 5f54e95a74bf

PUTRAJAYA- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) menyokong penuh tindakan kerajaan menghentikan permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014) bermula 1 Januari 2027.

Presiden PEM, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, tindakan sedemikian selaras dengan komitmen berterusan dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.

“Undang undang mesti diperkasakan mengambil kira kesejahteraan manusia dan alam sekitar terutamanya kepelbagaian biologi. Salah tindakan akan mendatangkan bencana yang memberikan kesan kepada ekonomi negara.

“PEM sentiasa menyokong pemerkasaan undang-undang demi kesihatan manusia dan keseimbangan dan sistem ekologi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan. berkata, permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014) tidak lagi dipertimbangkan berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan penguatkuasaan penuh peraturan itu bermula 1 Jan 2027.

Arthur berkata, keputusan itu bertujuan memastikan komitmen berterusan kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, undang-undang yang ada mesti diperkasakan, dipantau pelaksanaannya dan penguatkuasaan.

Katanya, pendidikan berkaitan alam sekitar khususnya pencemaran udara dan air mesti diteruskan dan diberikan kepada semua peringkat termasuk sekolah dan komuniti umum.

“Penglibatan NGO juga sangat penting daripada segi pemantauan dan pendidikan dalam menyokong undang-undang yang ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post NGO sokong kerajaan hentikan permohonan lesen pelanggaran appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles