50 pengamal media terlibat program konservasi Bukit Merah anjuran MK Land
![]()
BUKIT MERAH: Kira-kira 50 pengamal media dari pelbagai organisasi menyertai program konservasi anjuran MK Land. Holdings Berhad di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) bagi mendapat pendedahan menyeluruh mengenai pelbagai sisi menarik destinasi pelancongan ikonik itu.
Perjalanan media bermula seawal pagi menaiki perkhidmatan Keretapi Laju Elektrik (ETS) dari KL Sentral menuju ke Parit Buntar, sebelum disajikan dengan pemandangan menawan jambatan landasan kereta api merentasi Tasik Bukit Merah yang berusia lebih seabad.
Setibanya di lokasi, peserta dibawa melawat Loji Solar Fotovoltaik LSS4 M K Land di Lembah Beriah yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Solar Citra.
Loji berkapasiti 10.95MWac itu merupakan sebahagian daripada portfolio tenaga boleh diperbaharui kumpulan, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Selain elemen kelestarian tenaga, program turut membawa peserta mendalami aspek konservasi menerusi lawatan ke Bukit Merah Orang Utan Island yang menempatkan habitat perlindungan orang utan Borneo.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MK Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, program itu dirangka bagi memberikan pengalaman bermakna kepada media di samping memperkukuh daya tarikan Bukit Merah sebagai destinasi pelancongan pelbagai dimensi.
“Program ini bukan sekadar membawa rakan media berkunjung ke Bukit Merah tetapi memberi peluang kepada mereka untuk melihat dan merasai sendiri apa yang menjadikan destinasi ini begitu istimewa.
“Bagi kami, pembangunan bukan sekadar tentang membina sesuatu yang baharu tetapi bagaimana kita menghidupkan sesebuah destinasi, menjaga alam semula jadi sekeliling dan memastikan kisahnya terus relevan untuk generasi akan datang,” katanya.
Sepanjang lawatan ke pulau berkenaan, pengamal media turut menyertai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbang tenaga menghasilkan buaian gergasi serta mengecat semula kemudahan awam menggunakan hos pemadam api terpakai sumbangan bomba tempatan.
Pengamal media turut menikmati pengalaman penginapan unik di Kampung Air yang menampilkan 27 unit chalet atas air berlatar belakangkan ketenangan Tasik Bukit Merah, di samping merasai jamuan makan malam bertemakan ‘Balik Kampung’ serta menikmati suasana santai di kafe terbaharu resort berkenaan, ThinkCup.
Melalui pelbagai pengisian merangkumi rekreasi air di Laketown Waterpark, pendidikan alam sekitar dan komuniti, M K Land berharap usaha berterusan ini mampu terus mengangkat Bukit Merah sebagai destinasi pilihan utama percutian keluarga mahupun penganjuran program korporat di rantau ini. – UTUSAN
The post 50 pengamal media terlibat program konservasi Bukit Merah anjuran MK Land appeared first on Utusan Malaysia.