Datuk bandar Muslim pertama New York hadir majlis ulang tahun serangan 9/11
![]()
NEW YORK: Bandar Raya New York pada Jumaat memperingati ulang tahun ke-25 serangan dahsyat 11 September 2001 (9/11) dengan satu upacara yang turut menyaksikan ketiadaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan kemarahan golongan berhaluan kanan terhadap kehadiran Datuk Bandar Muslim pertama bandar raya itu, Zohran Mamdani.
Trump akan memberikan penghormatan di Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon dan bukannya di New York, lokasi pesawat yang dirampas merempuh dan memusnahkan kompleks World Trade Centre (WTC), mengorbankan sebahagian besar daripada keseluruhan 2,977 mangsa dalam tragedi yang mengubah sejarah dunia itu.
Naib Presiden AS, JD Vance dan empat bekas presiden Amerika yang masih hidup dijangka dijangka menghadiri upacara di tapak Ground Zero di selatan Manhattan.
Mereka ialah George W. Bush daripada parti Republikan, yang menjadi presiden ketika serangan berlaku dan Joe Biden, Barack Obama serta Bill Clinton daripada parti Demokrat .
Tiada ucapan akan disampaikan pada upacara itu, sebaliknya anggota keluarga mangsa akan membacakan nama semua yang terkorban, manakala loceng akan dibunyikan bagi menandakan detik-detik utama ketika serangan berlaku.
“Memorial seperti ini dan perbincangan mengenai peristiwa berkenaan penting untuk memastikan kita terus mengingatinya serta memahami bagaimana kita dapat mengelakkan tragedi seperti ini daripada berlaku lagi,” kata Robert Kafka, seorang penduduk Chicago berusia 60-an yang mengunjungi Memorial 9/11.
Bersama bekas presiden itu ialah Mamdani daripada parti Demokrat walaupun terdapat kempen yang diketuai akhbar berhaluan kanan New York Post dan bekas datuk bandar, Rudy Giuliani supaya beliau tidak menghadiri upacara berkenaan.
Satu petisyen yang mengumpulkan lebih 100,000 tandatangan menuduh Mamdani mempunyai kaitan dengan individu yang tidak dinyatakan, yang didakwa memandang remeh institusi Amerika atau tidak cukup kritikal terhadap ideologi ekstremis.
“Saya bimbang datuk bandar dilayan secara berbeza hanya kerana beliau seorang Muslim,” kata anggota Majlis Bandar Raya, Shahana Hanif, kepada CNN.
Bagaimanapun, Mamdani menerima pujian selepas baru-baru ini mendedahkan ribuan dokumen yang menunjukkan apa yang diketahui pegawai bandar raya mengenai tahap ketoksikan udara di Lower Manhattan selepas serangan berkenaan.
Selepas awan debu awal yang menyelubungi kawasan itu susulan runtuhan bangunan WTC, pencemaran dan debu yang berlarutan berlaku selama berbulan-bulan, menyebabkan penyakit kanser yang sehingga kini masih dideritai ribuan penduduk New York.
“Orang ramai jatuh sakit kerana pemimpin yang mereka percayai berbohong kepada mereka dan memberitahu bahawa selamat untuk bernafas dalam udara toksik,” kata Mamdani pada Selasa.
Seramai 19 anggota Al-Qaeda merampas empat pesawat pada hari yang hampir tiada awan pada 2001 itu. Dua pesawat merempuh menara berkembar WTC, menyebabkan bangunan ikonik setinggi 110 tingkat itu runtuh.
Pesawat ketiga merempuh Pentagon, manakala pesawat keempat terhempas di sebuah kawasan lapang berhampiran Shanksville, Pennsylvania, selepas penumpang cuba melawan perampas.
Selain mereka yang terkorban pada 11 September, lebih 9,400 orang lagi meninggal dunia akibat penyakit berkaitan serangan 9/11, menurut program persekutuan yang diwujudkan bagi menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang terjejas.
Kira-kira 100 juta rakyat Amerika pula belum dilahirkan atau terlalu muda untuk mengingati peristiwa tragis itu.
Logan Miller, 32, kehilangan bapa saudaranya dalam serangan berkenaan, manakala datuknya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan 9/11 selepas tragedi itu.
“Saya rasa generasi seterusnya tidak mampu membayangkan apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana seseorang boleh terkesan olehnya. Jadi, saya sebenarnya mendapati mereka lebih banyak bertanya soalan,” katanya kepada AFP.
The post Datuk bandar Muslim pertama New York hadir majlis ulang tahun serangan 9/11 appeared first on Utusan Malaysia.