Bahan kimia cemar Pusat Rekreasi Tasik Teratai, bandar Jerantut
JERANTUT: Pusat Rekreasi Taman Teratai pinggir bandar Jerantut di sini yang sering menjadi tumpuan orang awam beriadah dicemari pembuangan bahan asid dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Pengerusi, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Teratai, Hairul Azira Mohd. Ghazali berkata, dia menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan oleh jirannya yang tinggal berdekatan tasik itu pada waktu pagi semalam.
“Saya terus pergi ke tempat kejadian dan melihat tepi tasik didapati timbul banyak buih di permukaan air.
“Apabila saya melihat dari dekat terbau bahan kimia yang tidak menyenangkan dan terus mengagak kemungkinan ia dibuang berasaskan kelihatan berbuih dan berwarna putih,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hairul Azira, dia terus menghubungi ahli KRT di situ untuk mengenal pasti jenis bahan buangan berkenaan dan kemudiannya memaklumkan kepada pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ).
Dia berkata, sekiranya tidak diambil tindakan pembersihan bahan berkenaan sudah tentu mencemarkan keseluruhan permukaan tasik ini yang dipenuhi tumbuhan teratai antara tarikan pengunjung ke sini untuk beriadah waktu pagi dan petang.
Sementara itu jurucakap MDJ ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Kata jurucakap itu, MDJ bimbang bahan berbahaya yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh memberikan kesan kepada hidupan di air sekiranya mengalir ke sungai.
“Limpahan air Tasik Teratai itu akan mengalir ke Sungai Pahang yang tidak jauh dari tasik ini dan boleh menjejaskan pengusaha ternakan ikan sangkar di sepanjang sungai tersebut,” katanya.
Ujarnya, pengurusan MDJ sedang menunggu laporan JAS, JPS serta agensi berkaitan yang akan menyiasat bahan kimia yang dibuang serta langkah pembersihan nanti. – UTUSAN
The post Bahan kimia cemar Pusat Rekreasi Tasik Teratai, bandar Jerantut appeared first on Utusan Malaysia.