Viral buang sampah cctv 1024x496 1

Individu malas buang sampah di luar tong dicari

Viral buang sampah cctv

MACHANG – Majlis Daerah Machang (MDM) sudah mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan membuang sampah di luar tong di sebuah kawasan pembuangan sampah di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kesalahan itu dikesan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran tong berkenaan.

Menurutnya, individu itu didapati melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) MDM 5(2), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2019 yang memperuntukkan hukuman kompaun sebanyak RM1,000.

“Individu-individu terbabit diminta untuk tampil ke pejabat MDM bagi membuat bayaran kompaun yang dikenakan.

“Sekiranya gagal, pihak MDM akan mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan yang dilakukan dengan kadar kompaun maksimum bagi kesalahan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, MDM telah memasang CCTV di beberapa lokasi tapak tong sampah dan taman awam dalam usaha menjaga kebersihan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pemasangan CCTV itu juga bagi memantau individu yang ingkar dan mengotorkan kawasan-kawasan tersebut.

“Semua penduduk nasihatkan supaya membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan,” ujarnya.

Terdahulu, MDM memuat naik video rakaman CCTV yang memaparkan sikap individu yang membuang sampah di luar tong meskipun sudah berada di kawasan pembuangan sampah itu.

Keadaan itu menyebabkan kawasan itu kotor dengan sampah sarap meskipun tong tersebut masih banyak boleh diisi dengan sampah. – KOSMO! ONLINE

 

The post Individu malas buang sampah di luar tong dicari appeared first on Kosmo Digital.