WhatsApp Image 2025 03 13 at 14.09.41 1024x683 1

Ismanira tidak dapat jawab soalan termasuk minat Zayn Rayyan

WhatsApp Image 2025 03 13 at 14.09.41

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan kelima memberitahu bahawa ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf tidak dapat menjawab beberapa soalan yang ditanya termasuk minat anaknya pada hari kanak-kanak autism itu hilang pada 5 Disember 2023.

Bekas pegawai penyiasat kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Asisten Superitendan
Nor Zaharuddin Sanip, 42, berkata pertanyaan itu gagal dijawab ketika dia sendiri bertanya kepada Ismanira yang berada dalam kereta peronda polis pukul 10.30 malam Blok R, Apartment Idaman Damansara Damai.

Pendakwa Raya: Berdasarkan soalan peguam ketika kamu sampai Inspektor Nina (Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin) mula ambil keterangan pengadu iaitu ismanira, kamu jawab tidak setuju, boleh terangkan?

Saksi: Sebab saya sampai, Inspektor Nina sudah berada dalam kereta mpv (peronda polis) sedang ambil rakaman percakapan dan kemudian saya ada tanya ibu Zayn Rayyan macam mana hilang…. bagaimana kejadian berlaku dan apa Zayn Rayyan minat, dia tidak dapat jawab, jadi saya arahkan Inspektor Nina untuk teruskan rakaman percakapan dalam kereta.

Saksi itu berkata demikian pada pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendawa Raya Aqharie Durranie Aziz.

Terdahulu ketika pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan, saksi itu itu tidak bersetuju apabila pihak pembelaan mencadangkan apabila saksi sampai di lokasi Inspektor Nina baharu mengambil rakaman percakapan pengadu.

Dalam prosiding sama, saksi itu turut menafikan bahawa dia menerima tekanan daripada pihak atasan untuk menyelesaikan kes selain penglibatan beliau hanya untuk pencarian orang hilang (OH) dan tiada suspek.

Sebelum ini, Nor Zaharuddin dalam keterangannya telah mengarahkan Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, yang juga merupakan bekas pegawai penyiasat kes itu untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba manakala beliau pula menghubungi unit anjing pengesan (K9) Bukit Aman.

Nor Zaharuddin berkata Unit K9 bersama dua anjing telah melakukan pencarian di kawasan belukar, anak sungai dan kebun meliputi radius 700 meter dari Blok R.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan kelima itu berkata Unit K9 tidak dapat mengesan berikutan keadaan cuaca hujan, pencemaran bau dan kawasan itu telah dimasuki orang ramai.

Mengikut pertuduhan pindaan itu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

The post Ismanira tidak dapat jawab soalan termasuk minat Zayn Rayyan appeared first on Kosmo Digital.