JKDM rampas lebih 1,000 tan besi sekerap RM13. 2juta
KLANG – Sejumlah 1,098.19 tan besi sekerap bernilai RM13.2 juta cuba diseludup masuk di negara ini berjaya dikesan dalam kejadian di Pelabuhan Barat, baru-baru ini.
Rampasan tersebut hasil pemeriksaan terhadap 44 buah kontena tersebut pada 5 September lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, kejayaan kolaborasi di antara Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terhadap kontena-kontena itu yang tiba di pelabuhan itu pada 13 Ogos lalu.
Katanya, 44 buah kontena itu dipercayai datang dari sebuah negara dari benua Amerika.
“Pemeriksaan mendapati kontena itu tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).
“Besi sekerap itu dipercayai akan dileburkan dan dijadikan sebagai bongkah besi yang akan digunakan pihak tertentu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah hari ini.
Beliau turut memaklumkan turut merampas 2,118.91 tan sisa elektronik (e-waste) hasil mesin pengimbas terhadap 107 kontena di pelabuhan sama antara 17 Ogos sehingga 4 September lalu.
Tambah Anis Rizana, kontena -kontena tersebut telah diperiksa bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan pengimportan sisa tersebut
tidak mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Kesemua e-waste tersebut dianggarkan bernilai RM5.59 juta dengan ketirisan hasil sebanyak RM558,579.18.
“Modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah membuat pengikraran yang tidak benar sebagai aluminium ‘alloy’, aluminium ‘flakes’, aluminium material dan ‘cooper flakes’ di dalam dokumen manifes import.
“Ini bagi mengelak keperluan permit import bagi tujuan pengimportannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post JKDM rampas lebih 1,000 tan besi sekerap RM13. 2juta appeared first on Kosmo Digital.