hussein 4 1024x682 1

Kebakaran paip gas: Siasatan teknikal letupan belum dapat dimulakan – Hussein

hussein 4

SUBANG JAYA – Siasatan teknikal berhubung kejadian letupan paip gas di Putra Heights masih belum dapat dimulakan ekoran keadaan tanah di lokasi kejadian yang tidak stabil akibat letupan serta dipenuhi air hujan.

Ketua Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) hanya akan dijalankan selepas proses pemulihan secara berfasa diselesaikan.

“Setakat ini, hanya kerja-kerja pengaliran sementara bagi longkang monsun yang merentasi paip gas milik Petronas telah berjaya diselesaikan hari ini.

“Dalam masa yang sama, pemetaan haba turut dijalankan di kawasan sejauh 300 meter radius dengan suhu yang direkodkan antara 100 hingga 650 darjah Celsius,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar harian di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Putra Heights, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, fasa kedua akan melibatkan usaha menstabilkan tanah, termasuk kerja-kerja imbasan, meratakan permukaan serta pemasangan penghadang.

Ia bagi memastikan keselamatan sebelum kerja pengorekan dan siasatan lanjut dapat dijalankan.

“Proses ini dijangka berlangsung antara 7 hingga 15 April ini. Fasa ketiga pula akan dimulakan sebaik sahaja keadaan tanah disahkan selamat.

“Siasatan oleh DOSH dan pihak polis akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian letupan tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, fasa akhir akan melibatkan kerja-kerja pemeriksaan, pembaikan serta penyambungan semula bekalan paip gas oleh pihak Petronas. – KOSMO! ONLINE

The post Kebakaran paip gas: Siasatan teknikal letupan belum dapat dimulakan – Hussein appeared first on Kosmo Digital.