Kerjasama PETRONAS, Sabah perkukuh kejayaan bersama

KERJASAMA erat antara PETRONAS dan Kerajaan Sabah terus mencatat pencapaian signifikan dalam memperkasa industri minyak dan gas negeri, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan penglibatan vendor tempatan dalam sektor ini.
PETRONAS dan Kerajaan Sabah komited dalam merealisasikan sepenuhnya potensi sumber tenaga negeri ini.
Komitmen ini pernah ditegaskan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyifatkan termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) pada 2021 sebagai permulaan era baharu bagi industri minyak dan gas Sabah.
Inisiatif strategik ini bertujuan memastikan pembangunan sektor tersebut kekal mampan dan berdaya saing.
Peningkatan pesat OGSE Sabah
Tahun 2024 menyaksikan pertumbuhan pesat sektor minyak dan gas Sabah, memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu pemain utama dalam industri.
Syarikat OGSE tempatan memperoleh kontrak bernilai RM2 bilion pada tahun tersebut, menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 229 peratus daripada RM613 juta pada 2021.
Dalam pada itu, jumlah syarikat OGSE Sabah turut mencatat pertumbuhan luar biasa, meningkat sebanyak 85 peratus, daripada 201 kepada 372 syarikat sejak 2017.
Dengan penubuhan SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJE) juga, kepentingan negeri Sabah dipelihara, di samping membuka peluang kepada pemain tempatan untuk terlibat dalam projek tenaga yang lumayan.
PETRONAS terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
Dalam ucapannya di Majlis Peringat Vendor OGSE Sabah 2024, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata PETRONAS dan Kerajaan Sabah telah membina perkongsian kukuh berasaskan pertumbuhan bersama, pengurusan sumber yang mampan, serta pemerkasaan sektor tenaga negeri.
“Kami amat berbangga dengan daya tahan dan daya saing vendor Sabah dalam landskap OGSE,” katanya pada majlis yang bertujuan menghargai pencapaian 88 vendor tempatan dalam industri OGSE.
Ia sekali gus mencerminkan peningkatan memberangsangkan berbanding 25 vendor pada tahun 2023 dan mulanya hanya 10 vendor pada tahun 2022.
Dalam majlis sama, PETRONAS juga turut menganugerahkan kontrak bernilai tinggi termasuk kontrak Penyediaan, Pembinaan dan Pengubahsuaian Luar Pesisir (MCM) serta Pemasangan dan Pelaksanaan (HUC) kepada empat vendor tempatan bagi kawasan Pan Malaysia.
Pada tahun lalu, PETRONAS melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) juga turut memperkenalkan kontrak Integrated Well Continuity Services (IWCS) bagi menyokong pertumbuhan pesat syarikat tempatan sekali gus mengatasi cabaran yang timbul daripada peningkatan kos dan keadaan pasaran yang dinamik.
Kontrak tersebut memperkenalkan pendekatan yang lebih seimbang dalam pengurusan margin kos berbanding dengan pengulangan sebelumnya dan dikenali sebagai model Integrated Well Services (IWS).
PETRONAS juga turut bekerjasama dengan Kerajaan Sabah dan rakan industri dalam beberapa inisiatif utama, seperti Hari Rakan Kerjasama OGSE Sabah 2024, yang menyatukan lebih 350 vendor, pemimpin industri dan pakar industri untuk berkongsi pandangan dalam memajukan industri OGSE di Sabah.
PETRONAS juga menyokong inisiatif Sabah Mentorship Programme, sebuah kolaborasi antara Kerajaan Sabah, Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC), Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dan Malaysia Oil, Gas and Energy Services Council (MOGSC), bagi membentuk hubungan mentor-mentee antara syarikat ternama dan syarikat kecil di Sabah.
Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJE, Terry Biusing menegaskan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Sabah, PETRONAS dan syarikat OGSE tempatan mampu mencipta ekosistem ekonomi yang lebih dinamik.
“Lebih banyak syarikat tempatan kini berkembang dan berjaya memperoleh kontrak OGSE, sekali gus merancakkan sektor ini,” katanya.
Majlis Peringat Vendor OGSE Sabah 2024 yang diadakan pada awal tahun ini telah menghargai pencapaian 88 vendor tempatan dalam industri OGSE, mencerminkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding 25 vendor pada tahun 2023 dan mulanya hanya 10 vendor pada tahun 2022.
Memperkukuh penerokaan tenaga Sabah melalui kerjasama strategik
PETRONAS terus memperkukuh landskap minyak dan gas Sabah melalui kerjasama strategik serta pelaburan jangka panjang.
Salah satu langkah bagi mengekalkan pelaburan dan pengeluaran sektor huluan di Malaysia ialah Malaysia Bid Round (MBR), iaitu inisiatif yang dirangka menarik pelaburan serta memanfaatkan teknologi terkini bagi penjanaan pulangan sumber minyak dan gas yang mencabar.
Di bawah Malaysia Bid Round 2024 dan MBR+, sebanyak 14 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Contract atau PSC) baharu berjaya dimeterai melibatkan 12 operator berbeza dan merangkumi 11 Peluang Sumber Terbukti (Discovered Resource Opportunities, DRO) dan tiga blok penerokaan.
Daripada jumlah ini, lima PSC ditandatangani bagi negeri Sabah, termasuk dua PSC eksplorasi untuk blok SB306A dan SB306B, serta tiga PSC bagi DRO untuk Erb South, NBE dan Ubah.
Selain itu, PETRONAS turut bekerjasama dengan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd dalam pengendalian Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC), satu langkah penting dalam memantapkan kecekapan pengeluaran dan menjamin bekalan gas jangka panjang, dengan operasi KBBC PSC dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya 2050.
Bagi memastikan keterjaminan tenaga Sabah, PETRONAS turut menandatangani Perjanjian Jualan Gas (GSA) selama lima tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sekali gus menjamin bekalan membangunkan ekosistem tenaga yang kukuh dan lestari, mengimbangi pembangunan sumber dengan keperluan ekonomi serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Memperkasa industri, tenaga kerja tempatan
PETRONAS turut memainkan peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja tempatan melalui pelaburan lebih RM475 juta sejak 2010 dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat di Sabah.
Menerusi inisiatif PETRONAS Memperkasakan Ilmu, lebih 1.5 juta pelajar dan institusi pendidikan di negeri ini menerima manfaat daripada pelbagai program pendidikan dan latihan.
Program pendidikan seperti Discover PETRONAS @Schools memastikan pelajar khususnya di luar bandar mendapat pendedahan serta inspirasi untuk meneroka bidang sains dan teknologi.
Bagi memperkukuh penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matermatik (STEM) dalam kalangan pelajar, PETRONAS melaksanakan program seperti Discover PETRONAS @ Schools, Program Penajaan Pendidikan PETRONAS, Program Duta Guru, Program Kaunselor PETRONAS dan Petrosains RBTX Challenge.
Ia bagi memastikan pelajar, khususnya di luar bandar, mendapat pendedahan serta inspirasi meneroka bidang sains dan teknologi.
Selain itu, dalam memastikan tenaga kerja Sabah kekal memenuhi keperluan industri, PETRONAS turut menyokong lapan institusi TVET melalui Program Tajaan dan Bantuan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) serta memperkukuh pendidikan teknikal di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC).
Sehingga kini, usaha ini berjaya melahirkan 4,011 graduan teknikal dalam sektor minyak dan gas.
Salah seorang daripada kumpulan pertama pelajar KTC, Junaidi Kasim menyifatkan pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sebagai penyumbang kepada kejayaannya.
“KTC meninggalkan impak yang besar dalam hidup saya kerana ia memberikan peluang untuk saya belajar tanpa bebanan kewangan.
“Hari ini, saya bernasib baik kerana dapat menyara ibu bapa dan membantu adik saya yang masih belajar,” kata Junaidi.
PETRONAS juga turut memperkenalkan Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) dan BeDigital Bootcamp bagi memperkasa kemahiran digital dan keusahawanan kepada lebih 900 belia Sabah, sekali gus meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.
Usaha mampan, kelestarian alam sekitar
Dibawah Pelan Pembangunan Tukun Tiruan Sabah, komponen struktur minyak dan gas luar pantai diubah suai dan diguna semula sebagai habitat baru hidupan marin setempat.
Selain memacu pertumbuhan ekonomi, PETRONAS juga pada tahun lalu turut menyokong negeri dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui Pelan Pembangunan Tukun Tiruan Sabah (Sabah Reefing Plan).
Pelan Pembangunan Tukun Tiruan Sabah merupakan satu inisiatif di mana komponen-komponen struktur minyak dan gas luar pantai akan diubah suai dan diguna semula sebagai tukun tiruan bagi mencipta habitat baru hidupan marin setempat.
Komponen-komponen ini, setelah diubahsuai, akan berfungsi seakan-akan terumbu semulajadi di mana ianya menyediakan tempat perlindungan, kawasan pembiakan dan sumber makanan untuk habitat marin.
Inisiatif ini adalah kerjasama strategik dengan Jabatan Perikanan Sabah melalui pemeteraian memorandum persefahaman pada bulan September 2024 yang akan menjadi rujukan untuk 10 tahun akan datang.
Langkah ini bukan sahaja akan memperkayakan biodiversiti marin, malah dijangkakan turut memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat dalam sektor perikanan dan eko-pelancongan yang lebih lestari, seperti mana yang telah terbukti di negeri Terengganu dan Sarawak.
Kerjasama ini mencerminkan misi syarikat dalam mewujudkan nilai bersama sambil melindungi alam sekitar untuk generasi masa depan. Ia juga selaras dengan matlamat PETRONAS terhadap pemuliharaan alam sekitar, kesejahteraan jangka panjang komuniti di Sabah dalam usaha mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih (Net Zero Carbon Emissions) menjelang 2050.
Kerjasama berterusan untuk masa depan Sabah
Sabah memiliki potensi besar sebagai hab minyak dan gas serantau, dan PETRONAS terus memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Sabah serta rakan industri bagi merealisasikan aspirasi ini.
Komitmen PETRONAS terhadap pembangunan infrastruktur utama serta pemerkasaan vendor tempatan bukan sahaja meningkatkan keterjaminan tenaga negeri, malah memperkukuh kedudukan Sabah dalam landskap minyak dan gas global.
Dengan kejayaan yang berjaya dicapai dan hala tuju strategik yang jelas, kerjasama antara PETRONAS dan Sabah dijangka terus membawa manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyatnya.
Pengarah Urusan Unsur Hebat Sdn. Bhd., Muhammad Gaddafi Gulistan, turut menekankan kepentingan sinergi dalam memperkukuh industri minyak dan gas di Sabah semasa Majlis Peringat Vendor 2024.
“Gabungan usaha antara PETRONAS, Kerajaan Sabah, dan pemain industri tempatan amat penting dalam membangunkan ekosistem yang kukuh serta berdaya tahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd