Kilang alir sisa sembelihan ayam tanpa rawatan diarah henti operasi

KULIM – Sebuah lagi kilang memproses ayam di sini diarah menghentikan operasi serta-merta pada semalam kerana gagal membina Sistem Rawatan Efluen Industri bagi merawat air sisa sembelihan ayam yang dikeluarkan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis itu melakukan kerja-kerja memproses ayam dan mengalirkan air sisa buangan tanpa sebarang rawatan.
Katanya, premis tersebut dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan mengadakan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian di dalam premis semasa aktiviti memproses ayam mentah dijalankan.
“Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku. Premis diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.
“Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 juga dikeluarkan kepada premis untuk tindakan dalam tempoh POK tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil oleh premis.
“Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kilang alir sisa sembelihan ayam tanpa rawatan diarah henti operasi appeared first on Kosmo Digital.