
Kualiti udara di Balok Baru, Pahang sangat tidak sihat
PETALING JAYA – Kawasan Balok Baru di Kuantan, Pahang merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kategori sangat tidak sihat iaitu 250 setakat pukul 4 petang tadi.
Ia dipercayai berpunca daripada kebakaran tanah gambut di Ladang Kelapa Cherating.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, IPU yang direkodkan di laman web JAS pada pukul 4 petang menunjukkan 30 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.
“Selain itu, 37 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Balok Baru, Kuantan Pahang (IPU : 250),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Latiff, susulan daripada status bacaan IPU mencecah bacaan 201 hingga 300 di Balok Baru, pihaknya telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A & 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke peringkat negeri dan daerah terbabit.
Katanya, ia untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah/Negeri dan mengambil segala tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Koordinasi di antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut diadakan,” katanya.
Tambahnya, peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 3 Mac 2025 lalu melaporkan, rantau ASEAN selatan mengalami cuaca mendung di kebanyakan bahagian kecuali Semenanjung Malaysia dan utara Sumatera.
“Beberapa kawasan panas terpencil telah dikesan di Semenanjung Malaysia dan tengah Sumatera, dengan kepulan asap setempat diperhatikan berpunca daripada titik panas yang dikesan di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kualiti udara di Balok Baru, Pahang sangat tidak sihat appeared first on Kosmo Digital.