Lapan premis kotor, culas jaga kebersihan di Tumpat diarah tutup 14 hari
TUMPAT – Sebanyak lapan buah premis menjual makanan di daerah ini diarah tutup selama 14 hari selepas didapati tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, kesemua premis pusat bandar Tumpat, jalan utama sehingga sempadan daerah ini diarah tutup bermula semalam.
Menurutnya, seramai 80 orang kakitangan JKNK menjalankan Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2024 dengan memeriksa 59 buah kedai makan, restoran dan kilang makanan di daerah ini.
“Pemeriksaan mendapati lapan premis itu l tidak mencapai tahap kebersihan yang telah ditetapkan dan diarahkan untuk ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Kesalahan yang dikenal pasti antaranya gagal mematuhi Peraturan Kebersihan Makanan, pembuangan sisa makanan ke dalam longkang yang menyebabkan bau busuk dan penyimpanan bahan mentah dalam keadaan terdedah yang berisiko berlakunya pencemaran silang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaini memberitahu, premis-premis yang diarah tutup itu didapati membiarkan makanan terdedah sehingga berisiko tercemar dengan kehadiran lipas, lalat dan tikus.
Menurutnya, premis tersebut juga tidak menjaga suhu peti sejuk mengikut standard yang ditetapkan.
“Selain itu, sebanyak 99 Notis Seksyen 32B dikeluarkan kepada pemilik premis makanan dan pengendali makanan di daerah ini yang memerintahkan kehadiran mereka ke mahkamah atas pelbagai kesalahan melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting dalam kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka,” katanya.
Tambah Zaini, sekiranya pemilik premis masih tidak mematuhi tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, arahan penutupan premis akan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. – KOSMO! ONLINE
The post Lapan premis kotor, culas jaga kebersihan di Tumpat diarah tutup 14 hari appeared first on Kosmo Digital.