Operasi khas DBKL, 12 premis dikenakan tindakan
PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar melaksanakan tindakan khas terhadap barangan perniagaan yang diletakkan di tempat awam serta premis restoran yang tidak menjaga kebersihan di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur.
DBKL melalui satu kenyataan berkata, sebanyak 12 premis telah dikenakan tindakan pindah halangan melibatkan barangan-barangan perniagaan yang diletakkan di tempat awam.
“Selain itu, penutupan serta-merta telah dikenakan terhadap premis makanan yang tidak menjaga kebersihan.
“Tindakan diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah kenyataan itu, semua barangan yang dipindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Operasi khas DBKL, 12 premis dikenakan tindakan appeared first on Kosmo Digital.